ASLANI M
KEMAMAN: Golongan ulama tidak mencukupi berfungsi hanya sebagai penerang dan pendamai setiap kali berhadapan dengan permasalahan ummmah.
Prof Dato’ Dr Muhammad Abu Bakar dari Universiti Malaya berkata, pendekatan pasif atau reaksioner tidak memadai, dan boleh menyebabkan ummah menjadi
pembonceng sejarah dan bukan penentunya.
Katanya, peranan ulama lebih besar dalam persekitaran hidup dewasa ini, lebih-lebih lagi sekiranya ummah berada dalam rapuh dan mudah tergoda penularan nilai-nilai baru.
Kata beliau ulama sebagai pemikir dan penggerak yang menentu dan mencorak persekitaran dan perubahan menerusi tindak-balas mereka.
“Mereka seharusnya muncul sebagai ulama strategik dan bukan membiarkan pihak lain menentukan agenda hidup,” katanya pada Konvensyen Profesionalisme Cendekiawan Umarak Terengganu-Ulama dan Ummah Dalam Zaman Baru di sini baru-baru ini.
Beliau membentang kertas kerja ‘Kebangkitan Ulama dan Kehidupan Keagamaan di Terengganu’ bertempat di Darul Iman Training Centre.
Dr Muhammad juga berkata, ulama yang masih diberi kepercayaan perlu berwatak dan berwawasan kreatif serta proaktif berdepan dengan cabaran.
Menurutnya peranan mereka yang bersifat strategik tentu sekali mampu dipermudahkan sekiranya ulama tidak bergerak berasingan daripada pihak berkepentingan lain yang terlibat untuk memartabatkan kehidupan Islam.
“Kehendak politik adalah penting, sebagaimana juga institusi-institusi kerajaan yang bergerak seiring untuk menjayakan rancangan pengislaman,” ujarnya.
Beliau juga berkata, pergabungan ulama-intelektual sepatutnya diperkukuh dan diperluas bagi menghasilkan kerjasama dalam bidang penyelidikan dan pemasyarakatan nilai-nilai keagamaan.
Katanya pakar-pakar bukan berpendidikan Islam, namun berkecenderungan Islam wajar sekali dibiasakan dengan konsep dan kaedah dalam khazanah ilmu agama.
“Ulama selaku pembuat dasar dan pentadbir sebagai sebahagian daripada pemerintahan sepatutnya bertindak dan berurusan secara profesional agar kehadiran mereka benar-benar berimpak.
“Mereka dalam konteks ini adalah lebih daripada pegawai agama yang berfungsi di bawah Jabatan Agama.
“Sebilangan ulama berkedudukan strategik dalam sejarah Terengganu terdiri daripada mereka yang berjawatan Penasihat Diraja, Syeikhul Islam, Syeikhul Ulama dan Mufti,” katanya.
Menurutnya juga bagi memartabatkan institusi mufti, seharusnya bukan sahaja daripada kalangan berilmu dan beriman, namun berpengaruh dan berjaringan di peringat kebangsaan dan antarabangsa.
Kata Dr Muhammad, manusia modern memerlukan mesej yang mempunyai rencah ilmu dan logik disampaikan melalui pendekatan psikologi bagi mempengaruhi pendirian dan persepsi mereka.
Katanya juga ulama perlu bangkit dalam bentuk baharu memandangkan persekitaran sudah berubah dan dalam masa yang sama mengekalkan fungsi tradisional sebagai pemegang amanah Allah.
Majalah ‘Suara Persatuan Ulama’ pernah mengutarakan ulama sepatutnya menjadi pemimpin umat yang mampu menangani isu besar berkaitan dengan survival ummah, kemerdekaan, kebebasan, keadilan, pelaksanaan undang-undang Islam dan politik Islam.
0 Comments