Oleh : Asyura Muhamad
PASIR PUTEH, 6 Julai - Kerajaan Negeri Kelantan memperuntukkan RM1.5 juta bagi program melabuh 51 buah tukun tiruan (konservasi) di perairan Kelantan.
Program dengan usahasama Jabatan Perikanan Malaysia tersebut yang dikenali sebagai Ecological Fund Transfer for Biodiversity Conservation (EFT) adalah program baharu dan khas yang mula diperkenalkan pada tahun 2024 di bawah peruntukan kerajaan negeri kelantan bagi tujuan menyediakan kawasan perlindungan dan pembiakan pelbagai spesis ikan.
Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi, YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, kerja-kerja melabuhkan tukun tiruan ini dibuat di beberapa kawasan pesisir pantai iaitu di Tumpat, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh bagi membantu pembiakan ikan dan sekaligus dapat meningkatkan hasil tangkapan nelayan tempatan.
"Bagi tahun ini, sebanyak 12 unit Tukun Dasar Lembut Penghalang Pukat Tunda (TDL-PT) telah dilabuhkan, iaitu enam di perairan Pasir Puteh dan enam lagi di perairan Bachok."
![]() |
YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail, Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi Negeri Kelantan |
Beliau berkata demikian, di Program Melabuh Tukun Tiruan (Konservasi) di Perairan Pasir Puteh/Bachok Negeri Kelantan bertempat di Kompleks LKIM Tok Bali, Pasir Puteh, hari ini.
Tambahnya lagi, setiap tukun yang dilabuhkan itu adalah seberat 15 tan metrik dengan ukuran 2.6 meter tinggi dan 2.5 meter lebar serta panjang, dibina menggunakan konkrit bertetulang mengikut spesifikasi teknikal yang mematuhi garis panduan Guidelines for the Placement of Artificial Reefsoleh United Nations Environment Programme (UNEP).
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Perikanan Malaysia, Dato' Azahari Othman berkata, pelaksanaan tukun tiruan merupakan strategi utama pemuliharaan marin yang memberi impak langsung kepada kesejahteraan komuniti nelayan dan ekosistem laut.
Tambah beliau lagi, berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Institut Sumber Marin Asia Tenggara (ISMAT), DOF pada tahun 2020, sebanyak 129 kg sehingga 6,047kg biomass ikan telah direkodkan pada satu tapak tukun tiruan dengan nilai sumber tertinggi ikan komersil berjumlah RM84,759.60.
"Secara keseluruhan, nilai ekonomi daripada 74 tukun tiruan dianggarkan mencecah RM6.2 juta. Penemuan ini jelas menunjukkan potensi besar sektor perikanan dalam menyokong keterjaminan makanan negara melalui pelaksanaan projek tukun tiruan secara berterusan dan strategik," jelasnya.
Sebagai rekod, bermula tahun 2007 sehingga 2025, sebanyak 318 tukun pelbagai jenis telah dilabuhkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia yang membabitkan perbelanjaan sebanyak RM 6.46 juta.
Turut hadir ialah Timbalan Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato' Shaari Mat Hussain, Ahli Dewan Negeri (ADN) Semerak YB Nor Sham Sulaiman dan ADN Pantai Irama YB Mohd Huzaimy Che Husin.
0 Comments