![]() |
YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud, Menteri Besar Kelantan |
Oleh: Norzana Razaly
KUALA LUMPUR, 13 Julai — Tahniah dan selamat menjalankan tugas diucapkan kepada Ustaz Mohd Ariff bin Yusoff atas pelantikannya sebagai Pemangku Presiden Persatuan Anak Kelantan di Perantauan (PERAKAN) Malaysia yang baharu.
Ucapan penghargaan tersebut dizahirkan oleh Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Presiden PERAKAN Malaysia yang berlangsung di Hotel Ideas, di sini, hari ini.
Dato’ Mohd Nassuruddin optimis pelantikan Ustaz Mohd Ariff akan memperkukuh lagi peranan PERAKAN sebagai wadah penyatuan rakyat Kelantan di perantauan.
"Saya yakin dengan pengalaman beliau selama sedekad sebagai Timbalan Presiden, Ustaz Ariff mampu menggalas tanggungjawab ini dengan baik. Semoga usaha ini mempereratkan lagi ukhuwah, kebajikan dan jaringan sesama anak Kelantan di seluruh pelosok tanah air mahupun di luar negara," katanya.
Pelantikan tersebut ialah bagi menggantikan Dato' Sr. Dr. Haji Wan Muhamad Aminudin Wan Hussin yang telah melapor diri sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PMBK berkuat kuasa 1 Jun lalu.
Sementara itu, Ustaz Mohd Ariff, 51, yang telah berkhidmat selama 20 tahun di Sabah, menzahirkan rasa syukur atas kepercayaan yang diberikan kepadanya oleh pimpinan negeri dan warga PERAKAN.
"Amanah ini besar dan Insya-Allah saya dan pasukan kepimpinan PERAKAN akan terus beriltizam meneruskan peranan PERAKAN sebagai jambatan di antara kepimpinan negeri dengan rakyat Kelantan di perantauan, demi menjaga kebajikan dan perpaduan kita bersama," ujarnya.
Sehubungan itu, beliau berharap semua pihak mendoakan pasukan kepimpinan PERAKAN yang diterajuinya berjaya memperkasakan PERAKAN Malaysia agar terus berperanan sebagai platform penting yang menghubungkan rakyat Kelantan di pelbagai negeri.
Turut hadir, Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud dan Ahli Dewan Negeri Gual Periok YB Kamaruzaman Mohamad.
0 Comments