Oleh: Norzana Razaly
KOTA BHARU, 13 Julai — Para penggiat industri pelancongan merupakan duta kecil yang mencorakkan wajah sesebuah negeri di mata dunia. Kecekalan, kreativiti dan dedikasi mereka menjadi nadi penting dalam menjayakan pelancongan lestari, berdaya saing dan terus memberi manfaat ekonomi kepada rakyat.
Peranan tersebut diiktiraf oleh Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud ketika merasmikan Majlis Makan Malam Bersama Penggiat Pelancongan Kelantan–Terengganu sempena Program Silang Budaya Beautiful Terengganu 2025, di Dewan Gelanggang Seni, pada Rabu.
Menurutnya, para penggiat pelancongan merupakan antara tonggak utama yang menyampaikan citra negeri kepada dunia luar.
![]() |
YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud, Menteri Besar Kelantan |
“Usaha, kreativiti dan komitmen mereka amat penting dalam memastikan industri pelancongan kekal lestari, berdaya saing serta memberi manfaat terus kepada rakyat.
“Kerjasama erat antara Kerajaan Negeri Kelantan dan Terengganu ini bukan sahaja memperkukuh hubungan dua negeri di Pantai Timur, bahkan membuka ruang baharu dalam memperkasa sektor pelancongan dan menjana pertumbuhan ekonomi serantau,” ujarnya.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri Terengganu YB Datuk Razali Idris yang mewaklili Menteri Besar Terengganu YAB Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar merakamkan penghargaan kepada Menteri Besar Kelantan dan semua pemimpin Kelantan atas sambutan mesra kepada konvoi 35 buah motorsikal berkuasa tinggi dikepalai Menteri Besar Terengganu bersama delegasinya di kediaman rasmi Menteri Besar Kelantan, JKR 10 pada pukul 3.30 petang Rabu.
Datuk Razali memaklumkan bahawa objektif program Jelajah Silang Budaya Beautiful Terengganu 2025 adalah untuk mengukuhkan kerjasama pelancongan serantau melalui program Jelajah SG4 melibatkan Kelantan, Kedah dan Perlis.
"Siri jelajah ini penting untuk berkongsi kepakaran, mempromosikan tarikan baharu dan menarik lebih ramai pelancong ke Terengganu. Hubungan erat ini membuka ruang baharu memperkasa pelancongan dua negeri Pantai Timur, selain merancakkan pertumbuhan ekonomi tempatan," ujar beliau.
Sementara itu, Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Kelantan, YB Datuk Kamarudin Md Nor yang mengiringi Menteri Besar, menyifatkan majlis silang budaya ini sebagai inisiatif yang menyemarakkan kerjasama dua negeri, khususnya dalam pelancongan berasaskan budaya dan warisan.
"Usaha sebegini bukan sahaja mengukuhkan hubungan dua hala antara Kelantan dan Terengganu, malah membuka ruang kerjasama yang lebih luas bagi mempromosikan keunikan seni, budaya dan tradisi kita kepada pelancong tempatan mahupun antarabangsa," katanya.
Majlis makan malam itu turut diserikan dengan persembahan kebudayaan yang mempamerkan keindahan warisan seni Kelantan dan Terengganu, simbolik kepada komitmen kedua-dua negeri memelihara adat dan budaya sambil memacu pelancongan serantau ke tahap yang lebih berdaya saing.
![]() |
YB Datuk Kamarudin Md Nor, Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Kelantan |
0 Comments