
KOTA BHARU, 17 Julai 2025 – Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan, memberi amaran tegas terhadap trend ‘terapi emosi’ yang disifatkan sebagai songsang dan menyeleweng daripada ajaran Islam.
Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasmi beliau, Dato’ Dr Fadzli menyatakan kebimbangan terhadap segelintir pihak yang menggunakan nama penyucian jiwa dan pemulihan emosi untuk mempermainkan agama, mengaburkan akal dan meruntuhkan maruah insan; khususnya wanita.
“Kononnya mahu sembuhkan emosi, tapi hina akal. Kononnya mahu bangkitkan jiwa, tapi cabar maruah. Itu bukan islah, itu penyelewengan,” tegasnya.
Menurut beliau, Rasulullah SAW membawa risalah yang membimbing manusia keluar dari kegelapan jahiliah kepada cahaya iman, membina masyarakat berasaskan tauhid, ilmu dan akhlak; bukan emosi yang terlepas dari neraca wahyu.
Beliau menyifatkan gerakan terapi songsang ini sebagai satu bentuk jahiliah moden yang dibungkus dengan istilah ‘pemulihan’, sedangkan ia sebenarnya memesongkan umat dari jalan yang benar.
“Perjalanan kembali kepada Allah tak perlu air aneh, tarian pelik atau ritual asing. Cukuplah taubat nasuha, ilmu sahih dan sujud yang ikhlas,” ujarnya lagi.
![]() |
gambar hiasan |
Dato’ Dr Fadzli turut menyeru umat Islam agar tidak mudah terpedaya dengan gimik spiritual yang memperalatkan kelembutan wanita sebagai alat persembahan emosi.
“Umat ini milik Allah. Akal ini anugerah. Jiwa ini amanah. Siapa yang mempermainkan amanah ini, akan berdepan dengan azab-Nya,” katanya.
Kenyataan itu ditutup dengan peringatan: Kembalilah kepada Islam yang sahih, sebelum terlambat.
0 Comments