Tiada tolak ansur terhadap aktiviti bercanggah syariat Islam, keadilan bagi semua pihak – TMB Kelantan


Oleh: Norzana Razaly

KOTA DARULNAIM, 20 Julai – Kerajaan Negeri Kelantan tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang aktiviti yang bercanggah dengan syariat Islam, nilai moral dan adab ketimuran, demikian tegas Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan susulan polemik serbuan pihak polis ke atas sebuah acara yang didakwa sebagai ‘pesta seks sejenis’ di sebuah banglo di Kemumin, pada pertengahan Jun lepas.

Beliau berkata demikian sebagai respon terhadap pelbagai pihak termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kelantan, beberapa NGO dan individu tertentu yang menafikan kewujudan aktiviti tidak bermoral dalam acara tersebut.

“Kerajaan negeri berdiri teguh dengan prinsip amar makruf nahi mungkar. Apa jua bentuk kemungkaran yang cuba dinormalisasikan tidak akan diberi ruang di Kelantan. Justeru, kita merakamkan penghargaan kepada PDRM atas tindakan tegas dan pantas berlandaskan prinsip mencegah kemungkaran,” katanya menerusi kenyataan rasmi, hari ini.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa prinsip keadilan perlu ditegakkan dan semua pihak yang terlibat wajar diberikan hak mendapat pembelaan yang sewajarnya.

“Kebenaran wajib diutamakan. Kerajaan Negeri menyeru siasatan dijalankan secara rapi dan menyeluruh supaya tiada pihak menjadi mangsa fitnah atau salah faham. Jika siasatan membuktikan wujudnya aktiviti terlarang, tindakan tegas mesti diambil. Namun, jika dakwaan pihak NGO benar, langkah pembetulan harus segera dilaksanakan,” tegasnya.

Kenyataan media itu turut merujuk pengesahan Majlis AIDS Malaysia (MAC) yang menjelaskan bahawa satu sesi libat urus lapangan telah diadakan pada 17 Jun lalu di bawah model Perkhidmatan HIV Berbeza untuk Populasi Utama (DHSKP) dengan sokongan Kementerian Kesihatan.

Beberapa NGO termasuk Suaram, Women’s Aid Organisation (WAO), Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Amnesty International Malaysia pula menegaskan para peserta hadir hanya untuk mendapatkan maklumat dan menjalani ujian kesihatan seksual, bukan untuk tujuan tidak bermoral seperti didakwa.

Dalam pada itu, kerajaan negeri menasihatkan agar mana-mana pihak yang bercadang menganjurkan program yang berpotensi mencetuskan kontroversi, wajib mematuhi prosedur undang-undang dan mendapatkan kebenaran pihak berkuasa.

“Sekiranya benar para peserta datang dari luar Kelantan tanpa penglibatan rakyat negeri ini, fakta ini perlu diperjelaskan secara telus agar rakyat Kelantan tidak menjadi mangsa tuduhan tidak berasas,” katanya lagi.

Beliau menutup kenyataan dengan mengingatkan bahawa Kelantan akan terus istiqamah mempertahankan dasar Membangun Bersama Islam (MBI) dan menjadikan prinsip syariat, keadilan dan hikmah sebagai tunjang pentadbiran.

“Semoga bumi Serambi Mekah ini terus terpelihara daripada fitnah zaman dan terus menjadi contoh kepada negeri-negeri lain dalam menegakkan kebenaran dengan adab dan hikmah,” ujarnya.

Post a Comment

0 Comments