Oleh: Asri Hamat
BACHOK, 24 Ogos – Program Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Kelantan (HPPNK) 2025 yang berlangsung di Pantai Irama Bachok mencatat kejayaan luar biasa apabila dianggarkan lebih 150,000 pengunjung hadir secara silih berganti sepanjang penganjurannya.
Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi Negeri Kelantan YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, kehadiran ratusan ribu pengunjung membuktikan minat dan sokongan tinggi rakyat terhadap pembangunan sektor pertanian, penternakan, perikanan serta agromakanan di negeri ini.
“Program ini telah memberi banyak input dan maklumat berkaitan perkembangan pelbagai industri di bawah sektor ini. Setakat tengah hari tadi, jumlah jualan yang direkodkan di laman jualan, laman pameran dan laman veterinar mencecah RM1 juta iaitu sebanyak RM943,677.10,” katanya ketika merasmikan majlis penutup HPPNK 2025, hari ini.
Antara tarikan utama HPPNK kali ini adalah pengenalan ikan susu serta hasil perikanan dari Zon Industri Akuakultur (ZIA) Danau Tok Uban, Pasir Mas. Sebanyak 100 kilogram ikan susu dan lebih 255 kilogram ikan air tawar lain dihidangkan secara percuma untuk sesi uji rasa kepada pengunjung.
“Jika rasa sedap, pengunjung boleh mendapatkan bekalan ikan ini daripada jabatan perikanan atau Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) yang mempunyai ramai usahawan tempatan menyediakan jualan ikan tersebut,” tambahnya.
Selain itu, HPPNK 2025 juga mencatat sejarah apabila menghimpunkan jumlah ternakan ruminan terbesar iaitu sebanyak 246 ekor yang terdiri daripada 217 ekor lembu hibrid, sepuluh ekor lembu pelbagai baka, sepuluh ekor kambing dan sepuluh ekor bebiri.
“Permohonan untuk menyertai pameran ternakan sebenarnya hampir 300 pengusaha tetapi kita terpaksa hadkan kepada sekitar 200 lebih sahaja kerana kekangan ruang dan kos penyediaan keperluan pameran. Ini menunjukkan perkembangan positif dalam industri penternakan di Kelantan,” katanya lagi.
Dalam usaha memupuk kesedaran terhadap amalan kitar semula, sebanyak lebih 400 kilogram minyak masak terpakai berjaya dikumpulkan sepanjang program berkenaan dan ditukar kepada ganjaran hadiah serta wang tunai melalui inisiatif Kelantan Utilitis Mubarakan (KUM).
Majlis penutup turut dihadiri Timbalan Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato' Shaari Mat Hussein, Ahli Dewan Negeri (ADN) Pantai Irama YB Mohd Huzaimy Che Husin serta ketua-ketua jajahan dan jabatan negeri dan persekutuan.
0 Comments