Oleh: Norzana Razaly
ALOR SETAR, 24 Ogos – Timbalan Exco Pembangunan Wilayah, Sumber Asli, Pembangunan Insan, Integriti dan Undang-undang YB Wan Rohimi Wan Daud mengingatkan bahawa pemimpin negara wajib berhemat dan bertanggungjawab ketika berucap, selaras dengan prinsip undang-undang yang menuntut setiap kenyataan awam bebas daripada unsur fitnah dan tuduhan palsu.
Beliau yang juga peguam Menteri Besar Kedah YAB Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, berkata demikian susulan keputusan Mahkamah Tinggi Alor Setar yang sebentar tadi membenarkan tuntutan saman fitnah Menteri Besar Kedah terhadap mantan Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang juga Menteri Dalam Negeri berhubung kenyataan dalam Program Jelajah Madani pada 15 Julai 2023 sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) enam negeri.
“Keputusan ini adalah mesej jelas kepada semua pihak, khususnya pemimpin negara, agar berhemat ketika berucap. Kebebasan bersuara bukanlah lesen untuk membuat tuduhan palsu yang mencemar nama baik individu. Setiap ucapan membawa implikasi undang-undang dan boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap institusi kepimpinan,” tegas YB Wan Rohimi ketika dihubungi selepas prosiding, hari ini.
Turut bersama mewakili Dato' Seri Sanusi dalam prosiding tersebut ialah peguam Yusfarizal Yusoff dan Mohd Faizi Che Abu.
Menurut YB Wan Rohimi lagi, dalam ceramah tersebut, Datuk Seri Saifuddin antara lainnya menuduh bahawa “Sanusi curi REE dan didenda sebanyak RM500 ribu”.
Selain itu, beliau turut didakwa membuat kenyataan dalam satu sidang media pada 14 Julai 2023 bahawa Dato' Seri Sanusi kononnya telah menyalahgunakan peruntukan dana MARRIS berjumlah RM1.6 bilion.
Hakim Dr. Johan Lee Abdullah dalam penghakimannya memutuskan bahawa kenyataan tersebut adalah fitnah dan memerintahkan defendan menerbitkan permohonan maaf dalam satu akhbar berbahasa Melayu dan satu akhbar berbahasa Inggeris dalam tempoh 14 hari.
Termasuklah membuat permohonan maaf yang mesti dimuat naik di akhbar utama yang ditentukan dan teksnya diluluskan oleh plaintif.
Perintah injunksi kekal dikeluarkan bagi menghalang pengulangan kenyataan fitnah dan defendan membuat akujanji tidak mengulang siar.
Di samping itu, defendan juga dikehendaki membayar Gantirugi Global berjumlah RM600,000 dan membayar kos prosiding sebanyak RM70,000.
YB Wan Rohimi berkata keputusan ini bukan sahaja memberi keadilan kepada anak guamnya, tetapi juga menjadi garis panduan penting kepada masyarakat politik tanah air.
“Mahkamah telah meletakkan sempadan yang jelas iaitu ucapan politik tetap tertakluk kepada undang-undang. Apa yang tidak benar, apatah lagi bersifat fitnah, wajib dipertanggungjawabkan,” jelasnya.
0 Comments