Kelantan ada potensi keluar anggur

SALMAH MAT HUSAIN


TUMPAT: Kelantan berpotensi mengeluarkan anggur, kelapa dan tanaman lain yang bernilai tinggi bagi mengurangkan kebergantungan negara kepada produk import.

Exco Pertanian, Industri Agro Makanan dan Komoditi Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, tanah di Kelantan subur dan sesuai ditanam pelbagai jenis tanaman.

Katanya apa yang penting kesungguhan dan perhatian serius diberi bagi meningkatkan pendapatan petani serta mengurangkan kebergantungan bekalan dari luar.

“Kerajaan negeri yakin usaha tersebut akan memperkukuh sektor pertanian sebagai salah satu penyumbang utama ekonomi Kelantan,” katanya pada perasmian Program Apo Kobar Pok Tani Al-Falah (KAPOK) di sini semalam.

Turut hadir Adun Wakaf Bharu, Mohd Rusli Abdullah dan Adun Kelaboran Mohd Adanan Hassan.

Tuan Mohd Saripudin juga berkata, skim sokongan seperti Dapur Hijau dan Usahawan Al-Falah secara tidak langsung meningkatkan produktiviti sektor pertanian.

Sementara itu Mohd Rusli berkata, Wakaf Bharu berpotensi besar pengeluaran anggur biarpun sebelum ini tanaman itu popular di kawasan beriklim sederhana sejuk. 

Sehubungan itu beliau mengajak masyarakat di Dun Wakaf Bharu memanfaatkan tanah-tanah terbiar dengan mengusahakan pelbagai jenis tanaman.

Post a Comment

0 Comments