SALMAH MAT HUSAIN
TUMPAT: Sejak lima tahun lalu kerajaan Kelantan memperuntukkan lebih RM300,000 bagi membangunkan projek tanaman harum manis.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agro Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, projek itu mula diperkenalkan di Melawi, Bachok.
Dan sekarang ia diperkembangkan ke Pasir Puteh dan Pasir Mas.
Kata beliau sebanyak 10 peserta dibantu melalui peruntukan RM120,000 sebelum disusuli 10 lagi peserta baharu tahun ini.
“Bantuan yang disalurkan termasuk baja, sistem paip, pam air serta keperluan teknologi pertanian semasa.
“Secara keseluruhannya lebih 30 peserta terlibat setakat ini bagi pembangunan harum manis di Kelantan,” katanya ketika ditemui pada majlis Program Apo Kobar Pok Tani Al-Falah (KAPOK) peringkat Dun Wakaf Bharu di sini semalam.
Pada majlis itu, sebanyak 200 benih harum manis diagih kepada 100 peserta sebagai projek perintis. Hadir sama Adun Wakaf Bharu Mohd Rusli Abdullah.
Tuan Mohd Saripudin berkata, projek perintis itu dilakukan secara berperingkat dan tertumpu di kawasan tanah yang sesuai.
Menurutnya pokok harum manis memerlukan persekitaran panas dan tidak sesuai di tanah berselut atau bertakung air.
“Projek rintis kita pantau, jika tumbesaran pokok berjaya dalam tempoh setahun dua, peserta akan diberi peluang memperluas tanaman ke peringkat kebun,” ujarnya.
Kata beliau juga kerajaan negeri optimis tanaman harum manis berpotensi menjadi komoditi baharu Kelantan bagi menambah sumber pendapatan petani tempatan.
0 Comments