Oleh: Asri Hamat
KOTA BHARU, 7 Ogos - Kelantan Future Leaders Academy (KFLA) 2025 merupakan platform penting dalam melahirkan barisan pemimpin masa depan negeri yang berjiwa agama.
Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato' Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata pemimpin yang mahu dilahirkan tersebut sememangnya cemerlang dalam bidang akademik kerana KFLA 2025 diwujudkan bagi melatih peserta supaya menjadi pemimpin yang sensitif, peka terhadap persekitaran dan mempunyai hala tuju yang jelas dalam kehidupan.
“Kita ingin melahirkan pemimpin yang bukan sahaja hebat dalam akademik, tetapi juga mempunyai jiwa agama. Justeru itu, akademi ini memberi fokus melahirkan pemimpin berjiwa agama, yang mempunyai prinsip dan hala tuju hidup yang jelas.
”Tanpa hala tuju yang jelas, seseorang akan mudah tersesat dalam hidup sama ada di awal, pertengahan atau penghujung kehidupan.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan akademi tersebut di Dewan Gemilang, Tiara River & Beach, Pantai Cahaya Bulan, Kota Bharu pada Rabu.
Menurutnya lagi, program yang disertai 100 peserta dalam kalangan mahasiswa tempatan itu dilihat sebagai langkah awal dalam menyediakan barisan pemimpin negeri bagi tempoh 20 tahun akan datang.
"Di Kelantan ada 14 parlimen dan 10 jajahan. Kalau setiap jajahan melahirkan lima pemimpin berkualiti, itu sudah cukup hebat,” ujarnya.
YB Dato' Dr Mohamed Fadzli turut menekankan pentingnya pendidikan dalam membina kepimpinan, namun menegaskan bahawa kecemerlangan akademik sahaja tidak mencukupi tanpa asas agama yang kukuh.
Beliau turut menyeru ibu bapa supaya mula melatih anak-anak menjadi pemimpin sejak usia muda lagi kerana asas kepimpinan perlu dibentuk sejak awal.
"Seseorang pemimpin itu bukan dilahirkan, sebaliknya mempunyai bakat yang perlu diasuh dan dilatih sejak dari awal lagi. Sebagai contoh, Sultan Muhammad al-Fateh dilatih menjadi pemimpin oleh ibu bapanya dari usia muda lagi sehingga beliau berjaya menakluk kota Constatinople pada 29 Mei 1453 pada usia 21 tahun,"jelasnya.
Dalam program tersebut juga diadakan sesi Townhall Kelantan Future State 2033 di antara Timbalan Menteri Besar dengan para peserta.
Hadir sama, Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhammad dan Setiausaha Eksekutif KFLA 2025, Che Mohd Riduan Che Musa.
0 Comments