JETI TOK BALI LONJAK SEKTOR PELANCONGAN TIMUR KELANTAN

YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud

Oleh: Fathi Ariffin

KUALA BESUT, 7 Ogos - Sektor pelancongan timur Kelantan dijangka menerima lonjakan baharu menerusi pembukaan Jeti Tok Bali, yang bakal menjadi hab strategik menghubungkan pelancong dari negeri ini terus ke Pulau Perhentian, Besut dengan lebih mudah dan mesra pengunjung.

Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata inisiatif tersebut dimeterai melalui memorandum persefahaman di antara Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) yang diwakili Yang Dipertua MDPP Mohd Kamarulzaman Ab Wahab dengan Nasrom Travel & Tours Sdn Bhd yang diwakili Pengarah Urusan Dato’ Mohd Khairey Saudi.


Menteri Besar menyifatkan persefahaman berkenaan mampu  memperkukuhkan agenda pelancongan berasaskan komuniti, budaya dan alam semula jadi di negeri itu.

“Jajahan Pasir Puteh memiliki potensi besar dalam sektor pelancongan daripada keindahan pantai, keunikan budaya, produk makanan tradisional hingga kepada keramahan masyarakat setempat. Pembukaan jeti ini bukan sahaja menghubungkan Tok Bali ke Pulau Perhentian, malah menjadikannya sebagai pintu masuk pelancongan utama di pantai timur Kelantan,” katanya dalam majlis tersebut di Perhentian Island Resort, di sini, pada Rabu.

Tambahnya, Jeti Tok Bali yang dibina di atas tanah seluas 3.58 ekar akan menjadi pusat tumpuan baharu pelancong dan penduduk dengan pelbagai kemudahan seperti ruang riadah, tandas awam, surau, pasar ikan segar serta ruang niaga untuk usahawan tempatan, yang ditawarkan melalui sistem pajakan 10 tahun.

“Projek ini akan melonjakkan lagi peluang pekerjaan dan keusahawanan dalam kalangan rakyat tempatan serta menjadikan Tok Bali sebagai Bandar Pelabuhan Maritim selari dengan dasar Membangun Bersama Islam,” tambahnya.


Sementara itu, Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah dalam sidang media khas berkata, pembukaan jeti tersebut dapat menjadi pintu masuk utama pelancong antarabangsa, khususnya dari Thailand dan Eropah melalui Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu.

Turut hadir, Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi  YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Ismail, Ahli Dewan Negeri (ADN) Semerak YB Nor Sham Sulaiman, ADN Besut YB Azri Salleh, pegawai-pegawai agensi maritim, serta wakil Majlis Daerah Pasir Puteh dan Majlis Daerah Besut.

Post a Comment

0 Comments