![]() |
YB Mohd Asri Mat Daud, Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Negeri Kelantan |
Oleh: Asri Hamat
RANTAU PANJANG, 23 Ogos – Kerajaan Negeri Kelantan sentiasa meraikan kehadiran semua pihak termasuk golongan artis dan penganjuran program hiburan selagi mana ia selari dengan kehendak Islam,kata Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, YB Mohd Asri Mat Daud.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Bicara Selebriti siri ketiga anjuran Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Kerajaan Negeri Kelantan (UPKN) yang berlangsung di hadapan Arked MARA, Rantau Panjang pada Jumaat.
Menurutnya, Kerajaan Negeri Kelantan yang ditadbir dengan dasar Membangun Bersama Islam sejak tahun 1990 tidak pernah menolak hiburan. Malah, pada zaman Allahyarham Tan Sri Dato' Bentara Setia Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, konsert Mawi telah dianjurkan di stadium pada 2005, diikuti persembahan artis terkenal seperti Datuk M. Nasir dan Datuk Amy Search.
"Ini membuktikan bahawa kerajaan negeri tiada masalah dalam sebarang penganjuran program hiburan selagi ia tidak bertentangan dengan ajaran Islam," jelasnya.
Beliau turut menegaskan bahawa hiburan termasuk nyanyian dibenarkan dalam Islam jika tidak melalaikan dan bertentangan dengan akidah.
“Masa Nabi SAW berhijrah ke Madinah, Baginda pernah bertanya kepada Saidatina Aisyah RA dalam satu majlis, ‘Tidak adakah persembahan?’ kerana Baginda mengetahui orang Ansar sukakan hiburan berbentuk nyanyian,” katanya.
Tambahnya, hiburan seperti nyanyian boleh menjadi medium untuk menghilangkan keresahan, mengubat hati yang sedih serta menyatukan masyarakat.
"Jika nyanyian itu boleh menjadi penyembuh kepada penyakit, maka ia boleh menjadi wajib, selagi kandungannya tidak bercanggah dengan syariat," ujarnya.
Beliau turut menjelaskan bahawa Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat Hiburan Negeri Kelantan telah ditambah baik pada Januari 2025 supaya penganjuran sebarang program hiburan lebih terarah dan tidak bercanggah dengan kehendak agama.
![]() |
Iwan Shahman, panel bual bicara |
![]() |
Ijam Medicine, panel bual bicara |
Program Bicara Selebriti Siri Ketiga ini menampilkan Iwan Shahman dan Ijam Medicine sebagai panel bual bicara, selain turut disertai artis tempatan seperti Poyi Gasi, Fendi Kenali, Din Manja serta penyanyi dikir barat Tiga Beradik untuk membuat persembahan.
Selain sesi perkongsian, Iwan dan Ijam juga turut membuat persembahan nyanyian bagi menghiburkan para pengunjung yang hadir.
Sebelum ini, Bicara Selebriti Siri Pertama telah diadakan di Kota Bharu bersama Sabri Yunus dan isterinya Ardini Angeline Tan, manakala Siri Kedua di Tanah Merah menampilkan pasangan Syed Aiman dan Linda Rafar.
Turut hadir, Ahli Parlimen Rantau Panjang YB Dato' Zailah Mohd Yusof, Ahli Parlimen Tumpat YB Dato' Mumtaz Md Nawi, Ahli Dewan Negeri (ADN) Gual Periok YB Kamaruzaman Mohamad dan Pengarah UPKN, Razuan Awang Hamat.
0 Comments