Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Exco
Kredit foto: Unit Media Exco
KOTA DARULNAIM, 24 Ogos – Perlawanan persahabatan sepak takraw di antara agensi sempadan Thailand–Malaysia mampu memartabatkan sukan tradisional itu dan mengukuhkan lagi hubungan persaudaraan Kelantan dan Narathiwat.
Exco Belia dan Sukan Negeri Kelantan YB Zamakhshari Muhammad berkata, program tersebut menjadi satu platform yang berkesan untuk mempereratkan hubungan dua hala di antara kedua-dua wilayah yang telah lama menjalinkan kerjasama erat.
"Hubungan baik dua wilayah berjiran ini sudah lama terjalin, dan acara sebegini membuka ruang lebih luas untuk saling memahami serta mengukuhkan semangat kejiranan serantau," katanya menerusi satu catatan di media sosial, hari ini.
Perlawanan persahabatan tersebut berlangsung di Dewan Wawasan, Kompleks Belia dan Sukan Negeri Kelantan, Panji pada Sabtu yang turut menyaksikan penglibatan pelbagai agensi dari kedua-dua negara.
YB Zamakhshari yang mewakili Menteri Besar Kelantan dalam program tersebut menyifatkanya sebagai langkah positif dalam mengeratkan hubungan antara komuniti di kedua-dua sempadan.
Beliau turut mengumumkan bahawa Kelantan akan menyertai Program Goodwill Games 2025 yang dijadual berlangsung di Narathiwat pada 13 hingga 15 September depan.
“Insya Allah, Kelantan akan turut serta dalam Program Goodwill Games 2025 di Narathiwat, dengan penglibatan dalam pelbagai acara sukan dan kebudayaan yang bertujuan memupuk persefahaman dan keamanan antara negara,” jelas beliau.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak Konsulat Jeneral Diraja Thailand di Kota Bharu serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan penganjuran perlawanan tersebut.
"Semoga semangat kesukanan dan persahabatan terus kekal subur pada masa hadapan," katanya.
0 Comments