KIASDEC dilantik sebagai Sekretariat TVET Kelantan, 90 pelajar tahfiz terima SKM


Oleh: Asri Hamat

KOTA BHARU, 7 Ogos – Kerajaan Negeri Kelantan terus memperkukuh agenda Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) apabila secara rasmi melancarkan Majlis TVET Negeri Kelantan dengan Pusat Pembangunan Kemahiran KIAS (KIASDEC) dilantik sebagai sekretariat jawatankuasa kerja bagi menyelaras pelaksanaan program kemahiran secara bersepadu dan strategik.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat di Kelantan Trade Centre (KTC), di sini, hari ini.

Menurut Dato’ Wan Roslan, pelantikan KIASDEC yang dinaungi Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) sebagai sekretariat utama menandakan keyakinan tinggi kerajaan negeri terhadap keupayaan institusi itu dalam mengurus dan menyelaras program TVET yang menyeluruh serta responsif terhadap kehendak industri.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat

“Kita membuktikan bahawa pendidikan agama dan latihan kemahiran bukanlah dua cabang terpisah. Kedua-duanya boleh digabungkan untuk melahirkan insan Rabbani yang mahir dan relevan dengan keperluan semasa,” jelasnya.

Turut menyokong inisiatif berkenaan ialah Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad (KPKB) yang aktif menjayakan program TVET khusus kepada pelajar pondok dan tahfiz.

Majlis itu juga merai seramai 90 pelajar tahfiz dan pondok menerima Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), setelah berjaya menamatkan latihan kemahiran yang diiktiraf.

Dato’ Wan Roslan menegaskan bahawa kerjasama tersebut menjadi bukti bahawa sektor pertanian mampu menjadi pemacu utama ekonomi negeri, sejajar dengan konsep “Bertani Satu Ibadah”.

“Kejayaan KPKB menerima anugerah Best State Enterprise for Youth Empowerment (Agriculture Sector) dalam Malaysia Education & TVET Awards 2023 juga diiktiraf sebagai pencapaian besar bagi Kelantan.

Seiring dengan penubuhan Majlis TVET Negeri Kelantan, beberapa perancangan strategik telah digariskan termasuk penyambungan akademik dan mobiliti pendidikan, akses TVET kepada belia dan komuniti luar bandar dan penyelarasan kurikulum bersama pihak industri.

YB Dato’ Wan Roslan turut mencadangkan agar Yayasan Islam Kelantan (YIK) memanfaatkan rangkaian sekolah di bawah seliaannya untuk memperluaskan akses kepada program SKM, dengan sokongan penyelarasan, kepakaran dan kerjasama industri daripada kerajaan negeri.

Untuk rekod, Majlis TVET Negeri Kelantan dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato’ Dr. Mohamed Fadzli Hassan manakala Dato’ Wan Roslan pula berperanan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kerja Majlis TVET, dipandu oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).

Turut hadir pada majlis pelancaran, Exco Pertanian, Industri Agro Makanan dan Komoditi YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail, Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Wan Zulfadhli Syahman Wan Yusof, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PKINK, Ir Hamzah Abdul Rahman dan Pengurus Besar KPKB Mohd Mukhlis Mokhtar.

Post a Comment

0 Comments