Oleh: Asri Hamat
MACHANG, 29 Ogos – Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) kekal komited melaksanakan projek Rumah Mesra Rakyat (RMR) di Kelantan dengan memastikan setiap kediaman dibina lengkap tiga bilik, sejajar dasar negeri yang menekankan kepentingan susun atur rumah mengikut tuntutan Islam.
Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato’ Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, para penerima manfaat program itu diminta memberi kerjasama dengan melunaskan bayaran bulanan yang ditetapkan sebanyak RM300 sebulan dalam tempoh 16 tahun bagi memastikan projek tersebut dapat diteruskan secara berterusan.
![]() |
Timbalan Menteri Besar Kelantan, YB Dato’ Dr. Mohamed Fadzli Hassan |
“Diharapkan pemilik rumah menunaikan tanggungjawab membayar mengikut jadual agar pihak SPNB tidak serik melaksanakan projek ini. Agenda perumahan rakyat akan terus diperkasakan seiring dasar Membangun Bersama Islam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyerahan Kunci dan Surat Tawaran Rumah Mesra Rakyat di Kampung Banggol Kemian, Temangan, di sini semalam.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan dasar yang diperkenalkan oleh Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat masih diteruskan sehingga kini, iaitu syarat setiap rumah di Kelantan perlu mempunyai sekurang-kurangnya tiga bilik tidur.
“Satu bilik untuk ibu bapa, satu untuk anak lelaki dan satu lagi untuk anak perempuan. Pemisahan ini penting kerana Islam menetapkan panduan tertentu berkaitan ruang tidur apabila anak-anak mencapai umur tertentu,” jelasnya.
Tambahnya, susun atur rumah berkenaan bukan sekadar soal praktikal, bahkan merupakan sebahagian daripada peraturan yang ditetapkan Islam demi keselamatan serta keharmonian keluarga.
Dalam pada itu, YB Dato’ Dr. Mohamed Fadzli turut merakamkan penghargaan kepada SPNB kerana mengekalkan kriteria pembinaan rumah tiga bilik sebagaimana ditetapkan kerajaan negeri.
“Kita ucapkan terima kasih kepada SPNB yang akur dengan dasar ini demi kepentingan rakyat Kelantan,” katanya.
Pada majlis berkenaan, 11 penduduk menerima surat tawaran rumah manakala seorang menerima kunci kediaman baharu.
Turut hadir, Pengerusi SPNB, Dato’ Prof. Dr. Mohd Azmi Mohd Lila, Ketua Pegawai Eksekutif SPNB Mohd Jamil Idris, Pengarah SPNB Kelantan Nor Insan Yusop, serta Ketua Pegawai Tadbir Pusat Khidmat DUN Temangan Kapt. (B) Mohamed @ Shamsuddin Yusoff.
0 Comments