![]() |
Duta Besar Jepun ke Malaysia Tuan Yang Terutama (TYT) Shikata Noriyuki |
Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM, 30 Ogos – Duta Besar Jepun ke Malaysia Tuan Yang Terutama (TYT) Shikata Noriyuki memuji pendekatan kepimpinan matang yang diamalkan Kerajaan Negeri Kelantan, yang disifatkan membantu memperkukuh hubungan kerajaan negeri dengan kerajaan persekutuan.
Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato' Dr. Mohamed Fadzli Hassan, berkata penghargaan itu dizahirkan TYT Shikata sempena kunjungan hormat beliau ke Kompleks Kota Darulnaim, semalam.
![]() |
Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato' Dr. Mohamed Fadzli Hassan |
“TYT Shikata menyatakan penghargaan atas tadbir urus matang yang dilaksanakan kerajaan negeri.
"Kepimpinan sebegini telah membuka lebih banyak ruang kerjasama strategik dengan Jepun demi manfaat bersama,” katanya dalam hantaran di media sosial, Jumaat.
Menurut Dato' Dr. Mohamed Fadzli, antara fokus yang diketengahkan kepada TYT Shikata termasuk potensi pelaburan strategik di Tok Bali, Lojing Highlands dan Bandar Baru Tunjong, selain peluang kerjasama dalam sektor pelancongan, pendidikan serta kebudayaan.
“Kelantan telah membuktikan rekod kerjasama positif dengan syarikat Jepun, termasuk ROHM-Wako yang lama beroperasi di negeri ini dan menjadi model pelaburan berjaya,” jelasnya.
Beliau turut menambah, penglibatan Kelantan dalam Expo Osaka 2025 melalui penganjuran Kelantan Week akan digunakan sepenuhnya bagi memperkenalkan potensi negeri di peringkat antarabangsa.
TYT Shikata turut menyatakan minat Jepun untuk meneroka kerjasama dalam pembangunan ekonomi, khususnya dalam sektor sumber asli seperti nadir bumi bukan radioaktif (REE).
"Kerjasama strategik ini selaras dengan aspirasi Dasar Pandang ke Timur yang digagaskan oleh Kerajaan Malaysia, yang menekankan kerjasama dalam bidang ekonomi, pendidikan dan kebudayaan dengan negara-negara Timur, khususnya Jepun," ujarnya.
0 Comments