Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: FB Senator Dr Wan Martina
Kredit foto: FB Senator Dr Wan Martina
KOTA DARULNAIM, 17 September – Dua Ahli Parlimen dan seorang Ahli Senator wanita dari Kelantan terpilih mewakili Malaysia ke Mesyuarat Ahli-ahli Parlimen Wanita ASEAN atau 2nd Meeting of Women Parliamentarians of AIPA (WAIPA) – Women Political Leaders Forum yang diadakan sempena Perhimpunan Agung ke-46 ASEAN Inter Parliamentary Assembly (AIPA) di Putra World Trade Centre (PWTC), Kuala Lumpur, bermula 16 hingga 22 September.
Tiga tokoh wanita tersebut ialah YB Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff, Ahli Parlimen Tumpat YB Dato’ Mumtaz Md Nawi, dan Ahli Parlimen Rantau Panjang YB Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff.
Menurut Dr Wan Martina, Malaysia menghantar sembilan perwakilan terdiri daripada Ahli Dewan Negara dan Dewan Rakyat.
“Daripada jumlah itu, tiga adalah wakil dari Kelantan, manakala delegasi Malaysia diketuai oleh Ahli Parlimen Sri Aman, YB Dato' Sri Doris Sophia anak Brodi ,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mesyuarat WAIPA yang bermula pada sebelah petang dijadualkan membincangkan dua resolusi yang ditaja Malaysia, antaranya bertajuk ‘Championing Collaborative Efforts on Women’s Political Participation and Leadership in ASEAN’ yang menekankan kepentingan memperkasa penyertaan dan kepimpinan politik wanita di rantau ini.
Forum kali ini turut dihadiri perwakilan Asia serta pemerhati antarabangsa dengan tema ‘Women’s Leadership for Future-Ready Governance: Navigating Transitions in The Digital and Sustainability Era’. Tema tersebut menekankan kepimpinan wanita bukan sekadar sebagai peserta dalam tadbir urus, tetapi sebagai peneraju penyelesaian dalam menghadapi transformasi dan cabaran global.
Antara objektif utama forum ialah mengenal pasti peranan pemimpin wanita dalam merangka dasar inklusif bagi menangani cabaran baharu seperti tadbir urus kecerdasan buatan (AI governance), transformasi digital dan ekonomi khidmat penjagaan (care economy).
Penyertaan wakil Malaysia, khususnya dari Kelantan, bukan sahaja mengangkat martabat wanita dalam kepimpinan, malah memperlihatkan komitmen mereka memperkukuh demokrasi, membina jaringan kerjasama serantau dan memperjuangkan kesejahteraan masyarakat Asia.
0 Comments