Oleh:Asri Hamat
KOTA DARULNAIM, 18 September – Kerajaan Negeri Kelantan komited dalam usaha mengurangkan kadar kemiskinan di negeri ini dengan memfokuskan pembangunan sektor perladangan sebagai medium peningkatan sosioekonomi rakyat.
Berhubung perkara tersebut, Mesyuarat Lembaga Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat Negeri Kelantan (PPLRNK) yang dipengerusikan oleh Menteri Besar, YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud, telah berlangsung pada Rabu lalu di Wisma PPLRNK, Tunjong
YAB Menteri Besar berkata, mesyuarat tersebut diadakan bagi memastikan segala perancangan serta keputusan berkaitan operasi dan pembangunan Ladang Rakyat dapat diselaras dengan baik dan memberi impak positif kepada golongan sasar.
“Alhamdulillah, mesyuarat pagi ini berjalan lancar. Kita mahu pastikan setiap keputusan yang diambil akan memberi manfaat maksimum kepada rakyat, khususnya dalam aspek menjana pendapatan dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan melalui sektor perladangan,” katanya.
Pendekatan ini selaras dengan misi Kerajaan Negeri Kelantan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat, terutamanya mereka yang berada dalam kategori berpendapatan rendah.
“Insya-Allah, semoga segala usaha ini dipermudahkan dan akan membawa kebaikan kepada seluruh rakyat Kelantan,” tambahnya.
PPLRNK berperanan penting dalam merancang dan melaksanakan projek-projek ladang rakyat yang memberi pulangan ekonomi serta manfaat langsung kepada peserta dan komuniti setempat.
Hadir sama dalam mesyuarat tersebut ialah Timbalan Menteri Besar, YB Dato' Dr Mohamed Fadzli Hassan, Setiausaha Kerajaan Negeri, YBM Tengku Kaya Perkasa, Dato Dr Tengku Faziharudean Tengku Feissal, Penasihat Undang-Undang Negeri, YB Dato' Idham Abdul Ghani, Pegawai Kewangan Negeri, YB Dato' Rosnazli Amin, Ketua Pegawai Operasi, Mohd Arpi Arifin.
Sebagai rekod, Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat Negeri Kelantan (PPLRNK) ditubuhkan melalui Enakmen No. 2 Tahun 2006 setelah diluluskan oleh Dewan Negeri Kelantan pada Februari 2006 dan dilancar secara rasmi pada 26 Januari 2006 sebagai inisiatif kerajaan negeri bagi mengurangkan kemiskinan, meningkatkan pendapatan rakyat dan memanfaatkan tanah terbiar.
Melalui program ini, 100 peserta terpilih dari setiap Dewan Negeri Kelantan (DUN) menerima dividen bulanan sebanyak RM200.
0 Comments