Budaya Kelantan unik, berwarna-warni – Angeline Tan


Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Unit Media 
U-KeKWa

KOTA BHARU, 25 September – Budaya masyarakat Kelantan yang unik, berwarna-warni serta berteraskan nilai kasih sayang, hormat-menghormati dan tolong-menolong terus menjadi identiti negeri ini menarik perhatian selebriti Ardini Angeline Tan.

Beliau mengakui sepanjang pergaulan dan pemerhatiannya dengan masyarakat Kelantan, mereka saling memahami dan menganggap jiran serta rakan taulan seperti keluarga sendiri.

“Orang Kelantan hormat antara satu sama lain, tak kira bangsa. Jika ada majlis perkahwinan, kawan-kawan dan jiran akan saling membantu. Mereka anggap satu sama lain seperti keluarga.

“Rezeki juga dikongsi bersama antara orang Kelantan. Dalam Islam kita ada zakat dan sedekah, tetapi di Kelantan budaya tolong-menolong itu sebati dalam kehidupan seharian.


"Di kedai kopi pula orang Melayu, Cina dan India boleh duduk berkumpul bersama,” katanya ketika forum Bicara Hati: Kasih Disemai, Rezeki Dikongsi, Budaya Kelantan di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada Jumaat.

Tambahnya, negeri Kelantan sangat unik dan berwarna-warni. Rakyat berpegang kepada ajaran Islam yang mendidik hati dan membentuk akhlak sementara interaksi sesama masyarakat berlaku dengan mesra, lembut dan penuh kasih sayang.

“Masyarakat Kelantan juga bangga mempertahankan warisan seni budaya seperti wayang kulit, wau bulan dan lagu-lagu tradisional. Identiti wanita Kelantan yang mengenakan sarung tangan dan sarung kaki turut mencerminkan nilai menjaga maruah serta adat.

"Suasana ini sangat indah, bukan sahaja pada tempatnya tetapi juga pada orang-orangnya,” akuinya.

Forum tersebut dikendalikan oleh Moderator Nur Bahirah Hazirah Shaari. Manakala pendakwah Ustazah Asmak Husin turut diundang sebagai panel.

Sementara itu, Pengarah Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri Kelantan (U-KeKWa), Ilvira Mohd Dasuki memaklumkan bahawa penganjuran Kelantan Charity Festival 2025 itu memberi pengisian tersendiri dengan fokus kepada ilmu dan keluarga.

Puan Ilvira Mohd Dasuki, Pengarah Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri Kelantan

“Di Kelantan, hari Jumaat diisi dengan program menuntut ilmu, manakala hari Sabtu dikhususkan sebagai hari keluarga. Masyarakat perlu wujudkan masa untuk mencari ilmu.”

Beliau turut menekankan peranan Kerajaan Negeri dalam menyokong masyarakat, khususnya wanita dan golongan memerlukan, melalui pelbagai inisiatif termasuk bantuan kepada armalah iaitu ibu tunggal, Skim Cakna Aulad kepada bayi yang baru lahir, Skim Cakna Hawa untuk pekerja wanita golongan B40, Skim Cakna Suri untuk suri rumah, serta bantuan kepada pesakit kanser payudara dan anak yatim.

Jelasnya lagi, Kelantan Charity Festival bukan sekadar pesta kebajikan tetapi medan untuk menyatukan hati, memupuk budaya kebersamaan dan mengukuhkan semangat tolong-menolong dalam kalangan masyarakat.

“Terima kasih diucapkan kepada penganjur bersama Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) dan Madoo Bee, rakan strategik, para penaja dan semua petugas yang menjayakan program ini “ katanya.



Post a Comment

0 Comments