![]() |
| YB Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan, Timbalan Menteri Besar Kelantan |
Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM, 24 September – Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato’ Dr. Mohamed Fadzli Hassan menyuarakan kebimbangan terhadap nasib rakyat yang mungkin kehilangan sumber pendapatan susulan operasi merobohkan lebih 200 pengkalan haram di sepanjang sempadan Malaysia–Thailand.
“Kita bukan hendak membela aktiviti yang menyalahi undang-undang, tetapi kita cukup faham keadaan rakyat. Itu kerja harian mereka untuk mencari nafkah,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Exco di Mabna, Kompleks Kota Darulnaim, hari ini.
Beliau berkata, operasi perobohan yang dijalankan di Tumpat, Pasir Mas dan Rantau Panjang adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan kerana melibatkan isu keselamatan, imigresen dan undang-undang dua negara.
Menurutnya, langkah tersebut merupakan tindakan penting bagi mengekang aktiviti penyeludupan, khususnya penyeludupan dadah seperti pil kuda yang sering menggunakan laluan tidak sah di sepanjang sempadan.
Jelasnya lagi, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengenal pasti pengkalan terbabit, termasuk yang dibina di atas tanah kerajaan dan tanah persendirian, serta mengambil pendekatan teliti bagi mengelakkan sebarang komplikasi undang-undang.
Namun, beliau mengakui tidak semua pengkalan digunakan untuk kegiatan jenayah.
“Ada pengkalan yang digunakan penduduk setempat untuk menjala ikan, menjalankan perniagaan kecil, atau menghubungkan kekeluargaan antara penduduk di Kelantan dan Pekan Golok, Thailand,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru agar kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan bekerjasama mencari kaedah terbaik membantu penduduk yang terjejas.
"Bangunan yang didirikan sebagai premis perniagaan berada di atas tanah milik kerajaan negeri. Manakala isu keselamatan yang timbul melibatkan bidang kuasa dan tanggungjawab pihak berkuasa persekutuan.
"Jadi kita cuba cari jalan penyelesaian terbaik untuk tangani isu selepas operasi perobohan itu.
“Sebagai contoh, jika ada penduduk yang ingin memulakan perniagaan selepas ini, Kerajaan Negeri Kelantan ada menyediakan bantuan keusahawanan, begitu juga kerajaan persekutuan,” jelasnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri setakat ini belum merancang pembangunan di kawasan terbabit kerana faktor keluasan tanah yang terhad.

0 Comments