Cabaran Mr Awang Selamat 2025: Badang sopan beradu di AEON Mall Kota Bharu

Oleh: Syamimi Manah

KOTA DARULNAIM, 11 September – Arena bina badan tanah air bakal menyaksikan kelainan apabila Cabaran Mr Awang Selamat Kelantan 2025 kembali dengan gaya islami berlangsung di AEON Mall Kota Bharu pada pada 20 September ini.

Pertandingan peragaan otot sasa para badang dipamerkan tanpa mengorbankan adab dan aurat itu terus mengangkat Kelantan sebagai pelopor sukan bina badan patuh syariah, sekali gus membuktikan bahawa disiplin sukan moden boleh digarap seiring tuntutan agama.

Timbalan Pengarah Urus Setia Belia dan Sukan Negeri Kelantan (U-BeS), Mohd Firdaus Mohamed Nawi berkata, pendekatan yang diketengahkan Kelantan wajar menjadi penanda aras nasional.

“Di tempat lain, peserta mengenakan pakaian yang tidak menutup aurat. Di Kelantan, kita tampil dengan pendekatan sopan menerusi seluar silat yang lebih beradab, tanpa menjejaskan nilai kompetitif pertandingan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sejak diperkenalkan pada 2016, Cabaran Mr Awang Selamat telah menepis tanggapan bahawa bina badan bercanggah dengan prinsip syariah, malah membuka ruang baharu untuk atlet menonjolkan kekuatan, disiplin dan maruah secara harmoni.

Untuk edisi kali ini, enam kategori utama bakal dipertandingkan ialah Mr Awang Selamat Kelantan (Terbuka) untuk peserta 70kg ke bawah dan 70kg ke atas, Mr Awang Selamat Kelantan (Tertutup) untuk peserta 70kg ke bawah dan 70kg ke atas.

Manakala bagi kategori Open Man Physique pula dibuka untuk peserta 170cm ke bawah dan 170cm ke atas

Tambah Mohd Firdaus, pertandingan anjuran bersama U-BeS dan Department of Arts, Culture & Sport (DACS) itu dijangka mencuri perhatian pengunjung dengan aksi dramatik para peserta.

“Anak muda serta peminat sukan ini perlu tahu bahawa sukan bina badan bukan sekadar soal saiz otot, tetapi juga soal disiplin, maruah dan nilai kita,” jelasnya.

Beliau mewakili penganjur mempelawa orang ramai hadir menyaksikan sendiri keunikan gabungan otot dan adab dalam acara yang pasti menjadi sorotan penting kalendar sukan negeri.

Post a Comment

0 Comments