Hubbun Nabi SAW tonggak kesempurnaan iman – MB Kelantan


Oleh: Asri Hamat

BACHOK, 11 September – Sambutan Hubbun Nabi SAW melangkaui makna acara tahunan, sebaliknya program tersebut bukti nyata bahawa kecintaan kepada Rasulullah SAW adalah asas kesempurnaan iman, tegas Menteri Besar Kelantan, YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud.

Beliau berkata, majlis anjuran Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEIK) itu menjadi medan untuk umat Islam memperbaharui tekad meneladani sunnah Rasulullah SAW dan memperkukuh pelaksanaan ajaran Islam dalam kehidupan seharian.

“Kita hendaklah menjadikan sambutan ini sebagai detik muhasabah dan berazam untuk menanam rasa kasih kepada Rasulullah SAW melebihi daripada segala-galanya, termasuk diri kita sendiri,” katanya ketika merasmikan Majlis Sambutan Hubbun Nabi SAW Peringkat Negeri Kelantan 1447H/2025M di Pusat Pengajian Pondok, Yayasan Islam Kelantan (YIK) Kandis, hari ini.


Menurutnya kesempurnaan iman hanya tercapai apabila kecintaan terhadap Nabi SAW mengatasi kasih terhadap keluarga, harta benda dan diri sendiri, sebagaimana maksud hadis Baginda.

Dato’ Mohd Nassuruddin turut mengimbau kisah Sayidina Umar al-Khattab RA yang pada awalnya lebih menyayangi dirinya berbanding Rasulullah SAW, namun setelah ditegur Baginda, Umar membetulkan pendirian dan akhirnya diiktiraf mencapai kesempurnaan iman.

Dalam ucapannya, Menteri Besar menegaskan komitmen kerajaan negeri untuk merealisasikan dasar Penghayatan Membangun Bersama Islam, dengan menjadikan syariat sebagai panduan dalam semua aspek kehidupan masyarakat.

“Kita mahu seluruh rakyat Kelantan melaksanakan ajaran Islam secara menyeluruh. Apabila Islam dihayati dan dilaksanakan, maka keruntuhan moral dapat dibendung,” jelasnya.


Sementara itu, Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud berkata sambutan Hubbun Nabi SAW yang dianjurkan saban tahun berperanan menyemarakkan kecintaan kepada Rasulullah SAW, khususnya dalam bulan Rabiulawal yang penuh keberkatan.

“Apabila tiba bulan Rabiulawal, kita perlu lebih mengingati Rasulullah SAW melebihi agenda-agenda lain. Kerajaan negeri juga berhasrat memperluas sambutan ini ke semua lapisan masyarakat termasuk di agensi kerajaan, pusat pentadbiran dan institusi pengajian,” katanya.

Majlis turut diserikan dengan penyampaian Anugerah Kecemerlangan Madrasah, Membina Generasi al-Quran (MGQ) kepada wakil setiap jajahan bagi kategori kanak-kanak dan remaja sebagai penghargaan terhadap kecemerlangan pendidikan al-Quran.




Turut hadir, Timbalan Exco YB Nik Bahrum Nik Abdullah, Ketua Hakim Syarie Kelantan YAA Dato’ Ibrahim Deris, Pengarah JAHEAIK Dr Hasan Ramli, Pengarah YIK Zulkifle Abdul Rahman, Timbalan Pengerusi Jemaah Pondok Kelantan Syeikh Wazir Che Awang dan Ketua Jajahan Bachok Mohd Zaki Yusof.

Post a Comment

0 Comments