Dr Afifi Saif santuni mangsa banjir Sabah


KOTA KINABALU, 16 Sept 2025 – “Kami datang bukan sekadar bawa makanan, tetapi juga semangat,” ujar Dr Afifi Saif sambil menyerahkan pek makanan tengahari kepada seorang ibu muda yang mendukung anak kecil di Dewan PPR Serigai.

Di sebalik suasana hiruk-pikuk Pusat Pemindahan Sementara (PPS), kehadiran beliau bersama pasukan sukarelawan PAPISMA yang diketuai Dr Fadli dan Dr Diyana sedikit sebanyak melegakan hati mangsa banjir. Senyuman dan kata-kata semangat daripada mereka menjadi penawar emosi di saat kediaman terpaksa ditinggalkan.

Selain mengedarkan makanan, pasukan perubatan turut mengadakan pemeriksaan kesihatan percuma dan membekalkan ubat-ubatan asas. Ramai warga emas dan kanak-kanak yang hadir mengambil kesempatan mendapatkan rawatan.


Dr Afifi berkata misi kali ini memberi ruang untuk melihat sendiri keperluan mendesak mangsa.

 “Banjir bukan hanya tentang rumah yang ditenggelami air, tetapi tentang manusia yang sedang berjuang meneruskan hidup. Kita mahu mereka tahu, ada yang bersama mereka,” jelasnya.


Lawatan tersebut merangkumi Dewan PPR Serigai, Dewan PPR Keramat dan Kampung Meruntum. Setiap lokasi meninggalkan cerita tersendiri; ada kanak-kanak yang tetap riang bermain walaupun dalam kesempitan, ada warga emas yang tabah walaupun gusar memikirkan rumah yang musnah.

Kunjungan Dr Afifi dan pasukan bukan sekadar membawa makanan dan ubat-ubatan, tetapi lebih besar daripada itu: membawa harapan bahawa setiap mangsa tidak dilupakan.






Post a Comment

0 Comments