Arahan tanggal hijab cabul kebebasan beragama

KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) mengecam sekeras-kerasnya diskriminasi terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan Islam di Azerbaijan kerana memakai hijab.

Pengerusi Lajnah Hubungan Antarabangsa DMPM, Dato’ Mumtaz Md Nawi berkata, diskriminasi seumpama itu masih berlaku di sebuah negara majoriti Muslim.

Katanya, zaman sekularisme paksaan era Atatürk sepatutnya telah lama berlalu.

“Tiada kerajaan berhak memaksa wanita Islam memilih antara agama dengan masa depan mereka. Pendidikan tidak boleh dijadikan alat untuk memaksa muslimah meninggalkan identiti agamanya,” katanya pada kenyataan.

Baru-baru ini tular video seorang pelajar perempuan menangis kerana dilarang pakai hijab di sekolah di Azerbaijan.

Malah, guru juga menjadi mangsa keadaan di mana mereka diminta menanggalkan tudung ketika bertugas atau berdepan tekanan untuk meletakkan jawatan.

Peraturan baharu itu dilulus September lalu tidak menyebut larangan hijab secara khusus, sebaliknya melarang pakaian tambahan yang dianggap bercanggah dengan kod pakaian seragam dan prinsip sekularisme.

Pelaksanaan peraturan terbabit mencetuskan bantahan dalam kalangan pelajar, ibu bapa dan masyarakat.

Mumtaz yang juga Ahli Parlimen Tumpat berkata, pihaknya amat kesal kerana hijab bukan sekadar fesyen, sebaliknya lambang keimanan, maruah dan identiti sebagai wanita Islam.

Kata beliau memaksa muslimah menanggalkan hijab merupakan pencabulan kebebasan beragama dan penghinaan terhadap hak mereka menentukan cara mengamalkan kepercayaan sendiri.

“Kami berdiri teguh dalam solidariti bersama wanita, pelajar dan guru di Azerbaijan yang mempertahankan hak mereka.

“Kami mendesak Kerajaan Azerbaijan membatalkan segera sekatan diskriminasi tersebut serta membenarkan semua pelajar dan guru yang terkesan kembali ke sekolah tanpa syarat.

“Tiada wanita sepatutnya mengorbankan agamanya demi mendapatkan pendidikan. Hijab ialah hak kami, dan maruah kami bukan untuk dipertikaikan,” ujarnya.


 

 

Post a Comment

0 Comments