Graduan KIAS lebih versatil dengan Program Sarjana Muda Pengajian Islam dan Pengurusan


Oleh: Norzana Razaly
Kredit foto: Unit Media Menteri Besar

KOTA BHARU, 20 September – Graduan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) terus melangkah ke hadapan sebagai profesional Muslim apabila institusi pengajian tinggi itu menawarkan program Sarjana Muda Pengajian Islam dengan Pengurusan (Kepujian) yang menggabungkan kekuatan ilmu pengajian Islam dengan disiplin pengurusan moden.

Rektor KIAS, Profesor Dr. Mazlan Ibrahim menegaskan bahawa penggabungan dua bidang profesional menjadikan graduan KIAS lebih versatil dan berdaya saing dalam pelbagai sektor termasuk pendidikan, pentadbiran, kewangan Islam, korporat serta perkhidmatan sosial.

Menurutnya, program tersebut dirangka khusus untuk memenuhi keperluan industri dengan memberi penekanan kepada pendekatan holistik, seimbang antara kefahaman syariah dan kemahiran pengurusan berlandaskan prinsip Islam.

Antara kursus teras pengajian Islam yang ditawarkan ialah Aqidah Islamiah, Tafsir, Hadis, Fiqh, Usul Fiqh, Ulum Quran, Ulum Hadis, Dakwah Islamiah serta Sejarah Pembinaan Hukum Islam. Pada masa sama, pelajar turut diwajibkan mengikuti kursus pengurusan moden seperti Prinsip Pengurusan, Gelagat Organisasi, Keusahawanan, Komunikasi Perniagaan, Perniagaan Digital dan Pengurusan Proses Perniagaan.

Katanya lagi, KIAS mencatat sejarah tersendiri apabila graduan sulung program berkenaan berjaya menamatkan pengajian mereka.

Graduan sulung Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam Dengan Pengurusan (Kepujian)

"Peristiwa ini membuktikan kesungguhan KIAS menyediakan pendidikan berkualiti yang selari dengan dasar Membangun Bersama Islam dan aspirasi pembangunan modal insan negara," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Istiadat Konvokesyen KIAS Kali Ke-25 yang berlangsung di Dewan Johor KIAS, hari ini.

Beliau turut menzahirkan rasa bangga dengan pencapaian tersebut dan yakin program itu akan menjadi pemangkin kepada kelahiran tenaga profesional Muslim Rabbani.

“Program ini bukan sahaja melahirkan graduan berilmu dan berintegriti, malah membekalkan mereka dengan kepakaran pengurusan yang relevan dengan cabaran semasa. Inilah nilai tambah yang menjadikan lulusan KIAS bersedia menyumbang secara efektif kepada agama, bangsa dan negara,” jelasnya.

Post a Comment

0 Comments