Oleh: Norzana Razaly
Kredit foto: Unit Media Exco
Kredit foto: Unit Media Exco
KOTA BHARU, 20 September – Buat pertama kali dalam tempoh 17 tahun kerjasama akademik antara Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UNISHAMS) dan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) menyaksikan mahasiswa Mohd Fitri Adanan diumumkan sebagai Penerima Anugerah Terbaik Program Kerjasama UNISHAMS-KIAS.
Anak kelahiran Bachok itu menerima pengiktirafan rasmi di pentas Konvokesyen KIAS di Dewan Johor KIAS, hari ini.
Menurut Timbalan Rektor (Hal Ehwal Akademik dan Penyelidikan) KIAS Dr. Nurul Akma Mohamed, sejak program kerjasama itu dimulakan 17 tahun lalu, majlis konvokesyen pelajar hanya berlangsung di UNISHAMS, Kedah.
"Sejarah tercipta pada Istiadat Konvokesyen KIAS Kali ke-25 hari ini menyaksikan Mohd Fitri, alumni Kolej Tahfiz Sains Nurul Aman (Yayasan Islam Kelantan), muncul cemerlang dengan memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.0 sepanjang lapan semester pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Usuluddin (Dengan Kepujian) melalui program 4+0 UNISHAMS-KIAS," jelasnya ketika dihubungi, hari ini.
Kata Dr. Nurul Akma lagi, selain akademik, Mohd Fitri aktif dalam kepimpinan mahasiswa. Beliau pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi Lajnah Penerangan dan Hubungan Luar Persatuan Mahasiswa KIAS (PMKIAS) sesi 2022/2023.
![]() |
Dr. Nurul Akma Mohamed, Timbalan Rektor (Hal Ehwal Akademik dan Penyelidikan) KIAS |
"Beliau juga membuktikan kecemerlangan dalam bidang sukan apabila menyumbang Pingat Emas Pingpong Beregu Lelaki dalam Kejohanan Sukan Majlis Sukan IPTS Zon Timur 2022.
"Atas kecemerlangan itu, Mohd Fitri menerima Biasiswa Tajaan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana di KIAS," jelasnya.
Dr. Nurul Akma juga menyifatkan pemberian biasiswa itu sebagai satu pengiktirafan yang dijangka menyuntik inspirasi kepada pelajar lain.
Tambahnya, program kerjasama akademik UNISHAMS-KIAS kini menghampiri penamatnya dengan hanya berbaki satu kohort terakhir, selaras syarat penamatan yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) selepas KIAS dinaik taraf sebagai kolej universiti.
"Pencapaian ini membuktikan kemampuan institusi dalam melahirkan graduan Rabbani yang seimbang dari segi ilmu, sahsiah dan kepimpinan," ujarnya.
0 Comments