SALMAH MAT HUSAIN
KOTA BHARU: Kelantan negeri kedua selepas Sarawak mewujudkan Mahkamah Digital Syariah untuk mendepani cabaran era Revolusi Industri 4.0, kecerdasan buatan (AI) dan arus globalisasi.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Negeri, Ustaz Mohd Asri Mat Daud berkata, pencapaian itu mencatat sejarah baharu dalam sistem perundangan negara.
Katanya, pendigitalan mahkamah memberi banyak kelebihan antaranya menjimatkan kos perbicaraan, memudahkan pihak terlibat termasuk warga emas dan mereka yang tinggal jauh.
Selain itu mempercepatkan penyelesaian kes tertangguh di mahkamah.
“Kalau sebelum ini kelewatan disebabkan pelbagai faktor. Dan dengan adanya mahkamah digital, kes dapat diselesaikan lebih cepat.
“Bagaimanapun aspek capaian internet yang stabil amat penting bagi memastikan kelancaran proses perbicaraan secara digital,” katanya ketika merasmikan Dewan Mahkamah Teknologi di Mahkamah Syariah Negeri di sini semalam.
Kata beliau biarpun terdapat beberapa kekangan teknikal, namun manfaat pendigitalan jauh lebih besar dan memberi ruang keadilan lebih mudah diakses rakyat.
Menurutnya Kelantan bersedia lebih awal untuk memastikan sistem kehakiman syariah tidak ketinggalan dalam perkembangan teknologi.
“Kejayaan itu hasil kesungguhan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri yang memulakan langkah awal.
“Usaha pendigitalan ini selari dengan pengumuman kerajaan negeri melalui Pelan Tindakan Ekonomi Digital Kelantan 2030 yang dilancar pada Januari tahun lalu,” ujarnya.
Katanya juga sasaran kerajaan negeri mencapai 80 peratus urusan secara end-to-end digital menjelang akhir 2025 meliputi pelbagai sektor termasuk pendidikan, pertanian, mineral dan perundangan.
0 Comments