Program inovasi SUK suburkan budaya kerja progresif

(MAIK) dengan projek Sistem MyMAIK Dashboard

Oleh: Asri Hamat

KOTA DARULNAIM, 9 September – Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Dato’ Ab Pattah Hasbullah menegaskan bahawa penganjuran program inovasi mencerminkan komitmen murni Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dalam menyuburkan budaya kerja progresif, kreatif dan responsif terhadap perubahan semasa.

Menurutnya, SUK sebagai agensi induk pentadbiran awam negeri sentiasa berperanan penting melaksanakan agenda pentadbiran selaras dengan dasar kerajaan negeri, Penghayatan Membangun Bersama Islam (PMBI).

“Kerajaan Negeri Kelantan itu sendiri adalah manifestasi inovasi dan transformasi kerana telah mengubah cara pelaksanaan pentadbiran daripada konvensional kepada berteraskan syariah.

Dato’ Ab Pattah Hasbullah, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan)

"Justeru, seluruh warga pentadbiran awam diseru melipatgandakan usaha, berdaya saing dan memberi komitmen berterusan ke arah matlamat pentadbiran awam Kelantan yang lebih kreatif dan inovatif,” katanya ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada Hari Inovasi Sektor Awam Kelantan 2025 di Dewan Teratai, Kompleks Kota Darulnaim, hari ini.

Tambahnya, pembudayaan inovasi membuka ruang kepada pemikiran baharu dan memperkasa penggunaan teknologi serta menghasilkan penyelesaian yang mampan dan berimpak tinggi untuk kesejahteraan rakyat.

Hari Inovasi Sektor Awam peringkat negeri yang memasuki edisi ke-16 sejak 2010 itu menyaksikan persaingan pelbagai agensi kerajaan negeri dalam empat kategori utama iaitu Inovasi Pengurusan Kewangan, Inovasi Pentadbiran Tanah dan Jajahan, Inovasi Pihak Berkuasa Tempatan serta Inovasi Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT).



Antara pemenang utama tahun ini ialah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dengan projek Sistem MyMAIK Dashboard mengungguli Kategori Inovasi Pengurusan Kewangan.

Bagi Kategori Inovasi Pihak Berkuasa Tempatan pula Majlis Daerah Tanah Merah menyerlah dengan projek Sistem Pengimbasan A.I. dalam Penguatkuasaan Lesen Perniagaan.

Seterusnya, Kategori Inovasi ICT dijuarai Bahagian Pengurusan Teknologi Maklumat, Pejabat SUK Negeri Kelantan dengan projek Portal Digital Kelantan.

Manakala tiada pemenang diumumkan bagi Kategori Inovasi Pentadbiran Tanah dan Jajahan.

Majlis tersebut turut dihadiri Pegawai Kewangan Negeri YB Dato' Rosnazli Amin, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Nik Raisnan Daud serta ketua-ketua jajahan dan jabatan kerajaan negeri.

Post a Comment

0 Comments