Pentas pimpinan utama PN sempena 70 tahun PAS Kelantan


KOTA BHARU: Tanpa sedar PAS sudah bertapak hampir 70 tahun di Kelantan setelah parti itu dibawa ke negeri Serambi Mekah selepas dilahirkan di Butterworth, Pulau Pinang pada 24 November 1951.

Cawangan PAS pertama di Pantai Timur Semenanjung ditubuh di Pasir Mas pada 23 Julai 1953 oleh Ustaz Amaludin Darus dan Ahmad Yatim. 

Namun, PAS didaftar secara rasmi di Kelantan pada 1955 biarpun sudah wujud sejak Julai 1953.

Sempena ulangtahun tersebut PAS Kelantan akan menganjurkan sambutan khas yang bermula pada 21 hingga 24 Oktober ini.

Ia diadakan serentak dengan ulangtahun ke-35 dasar Membangun Bersama Islam (MBI) selepas PAS mentadbir Kelantan pada 21 Oktober 1990 bersama Angkatan Perpaduan Ummah.

Program sambutan di peringkat kerajaan negeri akan diadakan di Kota Darulnaim pada 21 Oktober ini.

Manakala kemuncak sambutan 70 tahun PAS Kelantan akan diadakan pada 24 Oktober di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV, dengan menampilkan pemimpin utama Perikatan Nasional (PN).

Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata, program sambutan bermula dengan kuliah Pagi Jumaat Perdana akan disampaikan pendakwah bebas Ustaz Azhar Idrus.

Katanya, sempena program perasmian diadakan Hari Keluarga PAS Kelantan, jamuan rakyat, pertandingan pidato, Alam Ria PASTI, solat dan munajat perdana.

Selain itu anugerah tokoh, persembahan nasyid, pameran 14 PAS kawasan dan agensi kerajaan, pemeriksaan kesihatan percuma, nasihat guaman, pendaftaran ahli PAS, karnival jualan, himpunan penghulu, himpunan peserta Ladang Rakyat dan himpunan guru PASTI, SRITI dan SMITI.

“Program tersebut akan diadakan di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV, Dewan KTC, Dewan Jubli Perak MPKB-BRI, Padang Perdana dan Gelanggang Seni,” katanya di sini.

Pada petang 24 Oktober akan diadakan himpunan ulama di Dewan Jubli Perak MPKB-BRI bermula jam 5 petang.

Pada masa yang sama akan berlangsung Himpunan Anak Muda di pentas utama di Dataran Warisan dan Himpunan Muslimat di Dewan KTC.

Kuliah Maghrib pula akan disampaikan Setiausaha Dewan Ulamak PAS Kelantan Ustaz Syed Ahmad Ridhwan Sayed Md Zain dan solat hajat serta munajat akan diadakan selepas solat Isyak.

Kemudian diikuti pengkisahan suka duka PAS Kelantan akan menampilkan Naib Presiden PAS Dato’ Mohd Amar Abdullah dan tokoh veteran.

Ceramah perdana sambutan 70 tahun PAS Kelantan bakal menampilkan Presiden PAS Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Mursyidul Am PAS Dato’ Bentara Kanan Ustaz Ahmad Yakob dan Menteri Besar Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud.  

Bagaimanapun mini sambutan ulangtahun ke-70 PAS Kelantan sudah diadakan di peringkat kawasan bermula Julai lepas dengan menganjurkan perlawanan bola sepak mahabah, jamuan rakyat, pameran, wacana pengkisahan tokoh dan sejarah PAS, solat hajat dan ceramah umum.

Post a Comment

0 Comments