ABDUL RAHMAN HARUN
TUMPAT: Masjid Ittihadi, Mukim Kubang Sawa di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor meraikan sambutan Hari Kemerdekaan dengan diadakan perarakan Maulidur Rasul.
Adun Pengkalan Kubor Dato' Wan Roslan Wan Hamat berkata, aktiviti keagamaan perlu diselit bersama aktiviti lain termasuk pertunjukan kesenian, perarakan dan sebagainya.
Katanya, penduduk yang hadir melaungkan selawat ke atas Junjung Besar Nabi Muhammad s.a.w sambil mengibar Jalur Gemilang.
"Sambutan Hari Kebangsaan kali ke-68 memberi makna yang sangat besar dengan mengingati perjuangan Nabi Muhammad saw dan pejuang kemerdekaan tanah air kita," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Maulud Rasul di Masjid Ittihadi baru-baru ini.
Sempena program itu turut diadakan perarakan kenderaan dua roda dan tiga roda termasuk basikal dengan mengelilingi kampung.
Wan Roslan juga berkata, perarakan turut disertai kanak-kanak dan warga emas sebagai simbolik semangat patriotisme dan rasa syukur atas nikmati yang dirasai sekarang.
"Semoga usaha dan pengorbanan diberkati Allah menjadi amal soleh di sisi-Nya dan menjadi inspirasi untuk terus memperkukuhkan persaudaraan dan menyemarakkan semangat cintakan Nabi dan tanah air," katanya.
0 Comments