Belia perlu hargai pengorbanan pejuang lama


ABDUL RAHMAN HARUN

GUA MUSANG: Golongan belia hari ini perlu mengenang dan menjadikan tauladan pengorbanan serta penat lelah pejuang dahulu yang berjuang menuntut kemerdekaan negara.

Penyelia DUN Nenggiri, Mohd Rizwadi Ismail berkata, pemimpin perlu menyemai dalam jiwa anak-anak muda terhadap semangat kemerdekaan yang dilakukan datuk nenek kita.

"Mereka bersusah payah dengan pengorbanan jiwa dan raga sehingga kita mengecapi apa yang ada sekarang," katanya pada sambutan Hari Kemerdekaan DUN Nenggiri di sini baru-baru ini.

Sambutan Hari Kemerdekaan dimeriahkan dengan aktiviti konvoi bermotosikal dianjurkan Pejabat Penyelia Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri yang disertai lebih 300 anak muda.


Program itu bertujuan bagi menyemarakkan lagi semangat kemerdekaan dan cintakan negara.

Menurut Rizwadi peserta berkonvoi sejauh 12 kilometer bermula dari jambatan di Bertam Baru sehingga kediaman Penghulu Mukim Limau Kasturi, Mohd Shaffien sambil mengibar Jalur Gemilang dan bendera Kelantan.

Peserta berkumpul seawal 8 pagi. Mereka diberi baju khas merdeka dan taklimat mengenai kaedah berkonvoi menepati keselamatan disampaikan polis Bertam Baru.

"Saya terkejut melihat sambutan anak muda di DUN Nenggiri menyertai konvoi yang kali pertama dianjurkan," katanya.


Post a Comment

0 Comments