Projek LTSIP Fasa 2 catat kemajuan 88.95 peratus, 2 hari mendahului jadual


Oleh: Syamimi Manah

KOTA BHARU, 10 September – Projek penaiktarafan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Fasa 2 direkodkan berada pada tahap 88.95 peratus setakat 23 Ogos 2025, iaitu 0.53 peratus melepasi jadual asal (88.42 peratus).

Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Kemajuan Luar Bandar YB Dato' Dr. Izani Husin menjelaskan peratusan tersebut menunjukkan projek berkenaan mendahului jadual pembinaan sebanyak dua hari berbanding tempoh asal yang ditetapkan.

“Skop kerja yang telah dicapai meliputi keseluruhan komponen awalan, reka bentuk kejuruteraan serta struktur pembinaan bagi Fasa 1 dan Fasa 2. Ini sekali gus menzahirkan kawalan kualiti serta penyelarasan tapak kerja yang efektif,” katanya ketika dihubungi.

YB Dato’ Dr. Izani Husin,
Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Kelantan

Antara struktur utama yang mencatatkan kemajuan signifikan termasuklah Bangunan Terminal Utama (MTB), Transfer Pier, Pusat Bangunan Utiliti, Kompleks VVIP, Bangunan Parkir Bertingkat (MSCP), fasiliti Airport Fire & Rescue Service (AFRS), kawasan parkir berbumbung serta kemudahan sokongan lain.

Menurutnya, pencapaian tersebut membuktikan integrasi kerja antara kontraktor utama, perunding kejuruteraan dan pihak pengurusan projek berjaya memastikan jadual kritikal (critical path) dipatuhi.

“Dengan prestasi ini, projek LTSIP berpotensi disiapkan mengikut sasaran. Kita berterima kasih kepada Kementerian Pengangkutan dan agensi terlibat atas kecemerlangan kemajuan ini. KIta juga yakin projek ini berupaya memberi nilai tambah kepada kapasiti operasi lapangan terbang dan melonjakkan imej Kota Bharu sebagai hab penerbangan utama Pantai Timur,” ujarnya.




Post a Comment

0 Comments