Kelantan terbitkan dokudrama khas Nasi Kerabu, sokong pengiktirafan Warisan Kebangsaan


Oleh: Norzana Razaly

KOTA DARULNAIM, 10 September - Nasi Kerabu merupakan antara 213 juadah Kelantan yang diiktiraf sebagai Warisan Kebangsaan.

Sehubungan itu, Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan YB Datuk Kamarudin Md Nor memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Kelantan atas semangat federalisme turut menzahirkan sokongan padu usaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Terdahulu, Ketua Setiausaha MOTAC Dato’ Shaharuddin Abu Sohot mengakui pihaknya sangat komited dalam mempromosi, memartabat serta melestarikan seni, budaya dan warisan negara.

Bagi tujuan itu, katanya, langkah dilaksanakan termasuk menyediakan bantuan kewangan kepada badan bukan kerajaan (NGO) dan korporat melalui Geran Sokongan Sektor Kebudayaan serta Geran Sokongan Sektor Pelancongan.

“Festival Citarasa Warisan @Pantai Timur ialah antara inisiatif MOTAC ke arah itu, terutama bagi makanan yang sudah mendapat pengiktirafan sebagai Warisan Kebangsaan bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005,” katanya pada 6 September lalu.

Menurut Datuk Kamarudin, usaha itu dilanjutkan kepada inisiatif mendapatkan pengiktirafan UNESCO, Kota Bharu sebagai Kota Kreatif Gastronomi. Bagi tujuan itu juga, kerajaan negeri mempersembahkan siri dokudrama juadah warisan Kelantan.


“Paparan kali ini sudah masuk siri yang ke-7 kita siarkan melalui media rasmi kerajaan negeri UPKN. Pengkisahannya dari aspek gastronomi yang belum pernah diperkatakan orang. Pasukan pembikinan dokumentari ini pun kita gunakan khidmat gabungan tenaga pakar dan amatur bagi membolehkan belia dan rakyat Kelantan merasai kebersamaan dalam memartabatkan khazanah warisan nenek moyang kita,” jelasnya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, enam siri lain yang sudah disiarkan ialah dokudrama berkaitan gastronomi Lompat Tikam, Puetri Mandi, Jeruk Maman, Akok, Pindang Tapai dan Ketupat Sotong Mengambang.

Beliau berharap semua penonton terhibur apabila mengetahui rahsia di sebalik resipi istimewa tersebut.

“Marilah kita sama-sama menonton bingkisan sajian Nasi Kerabu versi lima warna sebagai sokongan atas kemenangan mengungguli pingat emas dan dinobatkan sebagai Juara Masakan Kebangsaan Terbaik Dunia dalam acara Worldchefs National Cuisine Challenge 2025 yang berlangsung di Dubai pada 24 Mei 2025,” ujarnya.

Post a Comment

0 Comments