Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM, 10 September – Kerajaan negeri menyeru rakyat Kelantan agar lebih peka dan proaktif dalam membantu melindungi harta rakyat serta khazanah negeri dengan menyalurkan maklumat berhubung sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, YB Dato' Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, kerjasama orang awam amat penting bagi membendung pencerobohan tanah kerajaan, pembalakan haram, perlombongan tanpa lesen dan lain-lain kegiatan tidak sah.
“Kalau betul-betul ada pencerobohan tanah kerajaan, keluarkan kayu balak atau buat perlombongan haram atau apa-apa aktiviti yang mencurigakan, tolong bantu kerajaan dengan menyalurkan maklumat. Ini adalah harta rakyat dan kita pandang serius perkara ini,” katanya kepada media selepas Mesyuarat Exco di Mabna, Kompleks Kota Darulnaim, hari ini.
Beliau menegaskan, kegiatan haram perlu ditangani sejak awal kerana lazimnya ia bermula dalam skala kecil sebelum menjadi lebih serius dan sukar dikawal.
Katanya lagi, kerajaan negeri telah mengarahkan jabatan berkaitan termasuk Pejabat Tanah dan Galian (PTG) serta Jabatan Perhutanan untuk menjalankan siasatan terhadap laporan yang diterima.
“Siasatan perlu dijalankan terutama melibatkan kecurian kayu atau kegiatan perlombongan yang tidak sah. Tapi kalau hanya desas-desus, kita tidak boleh ambil tindakan kerana tidak pasti kebenarannya,” jelas beliau.
Oleh itu, beliau menyeru rakyat agar lebih prihatin serta bertanggungjawab dalam memelihara khazanah negeri, khususnya kawasan hutan dan tanah kerajaan.
“Kalau nampak kenderaan keluar masuk hutan secara meragukan, atau ternampak aktiviti yang pelik, laporkan segera kepada pihak berkuasa. Kita perlukan maklumat yang lengkap dan tepat untuk ambil tindakan sewajarnya,” tambahnya.
Terdahulu, media melaporkan penahanan tiga warga asing terdiri daripada dua rakyat Myanmar dan seorang rakyat Indonesia, kerana disyaki menjalankan aktiviti perlombongan emas haram di kawasan ladang sawit di Sungai Seting, Gua Musang.
Kegiatan itu berjaya dipatahkan hasil risikan Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) Bukit Aman dengan kerjasama PTG Kota Bharu. Ketiga-tiga suspek turut dikesan tidak memiliki dokumen perjalanan sah ketika ditahan.
0 Comments