TMK berkenan berjalan kaki bersama rakyat dalam program 'Kelate Charity Walk'


Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Menteri Besar

KOTA BHARU, 18 September - Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra Ibni Al-Marhum Sultan Ismail Petra, berkenan berangkat mencemar duli berjalan bersama rakyat dalam program 'Kelate Charity Walk' sempena Kelantan Charity Festival (KC Fest) di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV, malam tadi.

Keberangkatan tiba Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Kelantan disambut oleh Menteri Besar, YAB Dato' Panglima Perang, Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud.

Program Kelate Charity Walk dimulakan dengan bacaan doa oleh Imam Masjid Jamek Muhammadi, Kota Bharu, Hairul Azizi Mokhtar, diikuti pelancaran KC Fest oleh Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Kelantan seterusnya pelepasan oleh YAB Menteri Besar.


Acara berjalan kaki bersama Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Kelantan bermula dan berakhir di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV dengan jarak sejauh 2.07 kilometer.

Seramai lebih 3,000 peserta direkodkan telah menyertai program tersebut yang melibatkan penyertaan dari pelbagai lapisan umur dan kaum. Tidak ketinggalan juga ada yang bersama keluarga dan anak-anak kecil yang turut menjayakan program ini.

Sementara itu, Menteri Besar menjunjung kasih di atas limpah perkenan Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Kelantan, berangkat mencemar duli ke program tersebut.


"Semoga Negeri Kelantan terus dilimpahi rahmat dan kesejahteraan, serta rakyatnya hidup dalam suasana aman, harmoni dan diberkati Allah SWT," katanya menerusi satu hantaran di media sosialnya, hari ini.

Dalam program itu juga, Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Kelantan berkenan mengurniakan hadiah kepada empat orang pemenang. Hadiah-hadiah tersebut berupa sebuah skuter elektrik kurniaan Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Kelantan, sebuah motosikal Y15, sebuah motosikal SM Sport dan sebuah skuter Yamaha.



Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Kelantan juga berkenan menyaksikan penyerahan sumbangan daripada Maybank dan Agrobank kepada Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

Untuk rekod, KC Fest merupakan festival amal anjuran bersama Madoo Bee, Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) dan HMS Maju Group yang menggunakan slogan ‘Kasih Disemai, Rezeki Dikongsi, Budaya Kelate’ ini bermula pada 17 hingga 20 September, di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV.

Pelbagai acara menarik diadakan sepanjang program tersebut berlangsung. Antaranya, Bicara Hati: Kasih Disemai, Rezeki Dikongsi, Budaya Kelate".

Program tersebut juga turut menampilkan selebriti seperti Datuk Awie, Datuk Nash, Faizal Tahir, Senario, Ameng Spring, Caliph Buskers, Aris Ariwatan, Rahmad Mega, Naqiu, Halim Yazid, Bob Sentuhan dan ramai lagi.



Post a Comment

0 Comments