Oleh Tuan Arjuna Beta | Foto Unit Latihan & Komunikasi Korporat PKINK |
KOTA BHARU: Delegasi
Ahli Dewan Negara mengadakan lawatan kerja ke tapak projek Rumah Mampu Milik
Kelantan (RMMK) Badang di Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB), di sini, hari ini.
Lawatan itu diketuai Dato’ Dr Hatta Ramli bagi meninjau perkembangan serta kemudahan yang disediakan projek RMMK Badang yang kini siap sepenuhnya.
Turut hadir anggota Exco, Hilmi Abdullah; Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Kelantan, Dato' Haji Abdul Rahman Yunus; Pengarah Bahagian Perumahan Kerajaan Negeri (Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan), Nik Azhar Nik Abdul Aziz serta pengurusan kanan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK).
Projek tersebut dilaksanakan PKINK akan memberi manfaat kepada 344 keluarga melalui penyediaan kediaman mampu milik di bawah inisiatif Kerajaan Negeri Kelantan.
Projek terbabit bernilai RM26 juta melibatkan pembinaan tiga blok apartmen setinggi 10 dan 11 tingkat yang menyediakan 344 unit kediaman terdiri daripada jenis A, B dan C.
Harga jualan yang dicadangkan antara RM45,000 hingga RM130,000 memberi peluang kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana memiliki kediaman sendiri.
Projek RMMK Badang turut dilengkapi pelbagai kemudahan bagi memenuhi keperluan komuniti setempat, antaranya surau, dewan serba guna, tadika, pejabat pengurusan, sembilan unit gerai serta enam unit kedai.
Selain itu, dilengkapi parkir bertutup di tingkat bawah setiap blok, melibatkan 360 petak parkir kereta, 92 petak parkir motosikal serta sembilan petak parkir khas bagi Orang Kurang Upaya (OKU).
Pembangunan RMMK Badang mencerminkan komitmen kerajaan negeri menerusi PKINK menyediakan kediaman berkualiti dan mampu milik kepada rakyat Kelantan.






0 Comments