25 peserta latihan kejurulatihan kecergasan terima sijil tamat latihan


Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Exco

KOTA BHARU, 15 Oktober - Seramai 25 Jurulatih Kecergasan telah menerima sijil tamat latihan masing-masing yang diadakan di Klinik Perubatan Senaman dan Rehabilitasi ACEM, di sini, pada Selasa.

Penyampaian sijil tersebut disempurnakan oleh Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita YB Dato' Rohani Ibrahim.

Beliau diringi Pengarah Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita (U-KEKWA), Ilvira Mohd Dasuki dan CEO Asia College of Exercise Medicine (ACEM), Profesor Dr. Muhammad Lee.

Dato' Rohani menyifatkan kumpulan pelatih pertama yang menerima sijil sebagai kumpulan yang bertuah kerana telah dipilih untuk menjadi pelopor dalam usaha memartabatkan senaman mengikut landasan syariah.

YB Dato’ Rohani Ibrahim, Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri Kelantan

"Kita kena rasa dalam hati bahawa Allah SWT telah pilih kita, bukan sahaja untuk keseronokan diri sendiri tetapi sebagai penerus dasar Membangun Bersama Islam (MBI) dalam konteks sukan dan kesihatan,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian.

Menurutnya, pendekatan senaman yang diperkenalkan itu mempunyai keistimewaan kerana ia menitik berat aspek kesihatan dan menjaga batas-batas yang ditetapkan oleh agama.

"Kerajaan Negeri Kelantan juga buat senaman tetapi mengikut kaedah yang dibenarkan syarak, dengan kata lain, patuh syariah," ujarnya lagi.

Tambahnya, program seumpama itu mencerminkan usaha berterusan kerajaan negeri dalam menerapkan nilai-nilai Islam dalam semua aspek kehidupan, termasuk kesihatan dan kecergasan.


Dato’ Rohani turut mencadangkan agar setiap program anjuran Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita (U-KeKWa) di peringkat parlimen dimulakan dengan senaman ringan sebagai pembuka tirai, selaras dengan konsep gaya hidup sihat berpaksikan Syariah.

"Insya-Allah akan ada barakah bila kita niat untuk berdakwah melalui senaman yang diluluskan oleh syarak,” tambahnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa latihan kecergasan yang dijalankan melibatkan pengiktirafan sijil yang sah, menjadikannya platform profesional untuk mereka yang ingin menceburi bidang kecergasan berlandaskan nilai Islam.

Untuk rekod, program pensijilan jurulatih kecergasan tersebut adalah anjuran bersama Kerajaan Negeri Kelantan, Asia College of Exercise Medicine (ACEM) dan Persatuan Wanita Darulnaim (WARDANI).

Program yang terbuka secara eksklusif untuk wanita sahaja itu telah berlangsung selama lima hari bermula 10 hingga 14 Oktober di Klinik Perubatan Senaman dan rehabilitasi Acem Kota Bharu.

Post a Comment

0 Comments