Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM, 14 Oktober - Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato’ Dr. Mohamed Fadzli Hassan menegaskan bahawa generasi muda kini berdepan tekanan sosial, ketidakstabilan emosi dan kekosongan spiritual yang semakin meruncing.
“Sudah tiba masanya kerajaan persekutuan melaksanakan intervensi yang lebih holistik dan strategik,” katanya menerusi kenyataan rasmi, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa, isu disiplin pelajar yang berlaku hari ini tidak boleh dilihat sebagai masalah terpencil, sebaliknya merupakan manifestasi kelemahan sistem pendidikan yang terlalu menekankan pencapaian akademik semata-mata tanpa keseimbangan pembangunan rohani, emosi dan akhlak.
Dato’ Dr. Mohamed Fadzli turut menekankan kepentingan sistem sokongan di peringkat sekolah dengan memantapkan peranan Unit Kaunseling melalui latihan lanjutan dalam intervensi psikososial dan pengurusan krisis.
“Guru perlu dibekalkan kemahiran pedagogi berasaskan empati dan nilai supaya mereka bukan hanya menyampaikan ilmu, tetapi menjadi pembimbing jiwa dan pembina karakter pelajar,” katanya.
Beliau juga menegaskan peranan ibu bapa sebagai institusi pendidikan pertama dalam pembentukan emosi dan adab anak-anak.
Oleh itu, beliau mencadangkan agar program literasi keibubapaan diperluas melalui kerjasama kementerian, institusi agama dan komuniti bagi membantu ibu bapa mendidik anak dalam persekitaran digital masa kini.
Beliau turut menegaskan bahawa sistem pendidikan perlu kembali kepada matlamat asal membentuk insan seimbang iaitu berilmu, beriman dan berakhlak mulia.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan penyemakan semula kurikulum kebangsaan bagi memperkukuh elemen pembinaan sahsiah, literasi emosi serta nilai kemanusiaan dalam kalangan pelajar.
Seterusnya, beliau menyaran agar Dasar Pendidikan Rabbani Kelantan (DPRK) yang berteraskan integrasi ilmu, akhlak dan iman dijadikan rujukan dasar pendidikan di peringkat nasional.
“Model pendidikan berasaskan nilai ketuhanan ini penting untuk melahirkan generasi rabbani yang bukan sekadar cemerlang akademik, tetapi kukuh spiritual, matang emosi dan luhur akhlaknya,” jelas beliau.
Dato’ Dr. Mohamed Fadzli juga menegaskan bahawa kanak-kanak bukan bahan eksperimen dasar pendidikan.
“Anak-anak adalah amanah Ilahi yang perlu dijaga dengan hikmah dan kebijaksanaan. Jika akar pendidikan bersumberkan iman, dan tanahnya disiram dengan kasih serta ilmu, nescaya akan tumbuh generasi yang menegakkan kebenaran dan membela kemanusiaan,” katanya.
0 Comments