KOTA BHARU: PAS terus istiqamah mengharungi badai perjuangan dalam arus politik perdana di negara ini biarpun berdepan dengan fitnah dan pelbagai halangan.
Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata, resepi kesabaran diwarisi pejuang Islam sejak dahulu membolehkan PAS terus utuh dan kekal sehingga sekarang.
Katanya golongan ulama membina asas yang kukuh sehingga membolehkan PAS bertapak dan berkembang di Kelantan.
“Sehingga sekarang PAS Kelantan sudah melewati 70 tahun mengharungi perjuangan yang panjang berbekalkan darah, peluh dan air mata pejuang terdahulu.
“Akhlak, ilmu dan iman menjadi sendi perjuangan PAS sehingga mampu berkembang seperti yang ada sekarang,” katanya pada perasmian sambutan 70 Tahun PAS Kelantan dan 35 tahun dasar Membangun Bersama Islam (MBI) di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV hari ini.
Perasmian disempurnakan Pesuruhjaya PAS negeri Dato’ Bentara Kanan Ustaz Ahmad Yakob. Hadir sama Menteri Besar Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud, pimpinan kerajaan negeri, PAS, Bersatu dan Gerakan.
Sebelum itu kuliah perdana pagi Jumaat disampaikan pendakwah terkenal Ustaz Azhar Idrus.
Wan Roslan yang juga anggota Exco kerajaan negeri berkata, kejayaan pentadbiran di bawah dasar MBI sepanjang 35 tahun diterjemahkan melalui pameran oleh agensi kerajaan dan parti sempena program tersebut.
Sementara itu menteri besar berkata, PAS merupakan parti yang tertua di negara ini memandangkan Umno yang ditubuh pada 1946 telah diharamkan akibat krisis dalaman parti tersebut pada 1987.
Katanya, Umno yang ada sekarang merupakan Umno Baru yang ditubuh semula pada 1988.
Kata beliau juga PAS berjaya menerajui kerajaan negeri dalam dua versi iaitu pertama pada 1959 hingga 1978 dan kedua, 1990 sehingga sekarang.
“Sekarang PAS bukan sahaja bertapak di Kelantan, sebaliknya terus berkembang sehingga berjaya mentadbir Terengganu, Kedah dan Perlis.
“Pahang juga nyaris-nyaris dikuasai PAS dan Perikatan Nasional pada pilihan raya umum lepas. Kita yakin akan dapat menguasai Malaysia pada PRU-16 dengan syarat terus istiqamah,” ujar beliau.
Sempena sambutan tersebut turut diadakan pelancaran buku sejarah 70 tahun PAS Kelantan bertajuk ‘Tok Lebai Kemudi Negeri’ dan pameran sejarah PAS peringkat kawasan serta agensi-agensi kerajaan.
Sementara itu pertandingan pavilion pameran PAS dimenangi PAS Kota Bharu, tempat kedua PAS Kubang Kerian dan ketiga PAS Tumpat.
Manakala seorang anak muda Irwan Shafiq menang pertandingan mencipta logo sambutan 70 tahun PAS.


0 Comments