Sambutan 35 tahun MBI himpunkan keluarga besar perjuangan Islam – YB Dato' Wan Roslan

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat


Oleh: Syamimi Manah

KOTA BHARU, 24 Oktober – “Kita berhimpun hari ini sebagai satu keluarga besar perjuangan Islam.”

Demikian ungkapan penuh makna oleh Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat, sempena Majlis Perasmian Sambutan 70 tahun PAS Kelantan dan 35 tahun Membangun Bersama Islam (MBI) yang berlangsung di Dataran Warisan, Stadium Sultan Muhammad IV, hari ini.

Sambutan yang diadakan selama lima hari bermula 21 hingga 25 Oktober 2025 itu menyatukan ribuan rakyat, ahli hizbi, agensi kerajaan serta badan sukarela dalam satu himpunan besar memperingati sejarah panjang pentadbiran Islam di bumi Kelantan.

Dalam ucapannya, Dato’ Wan Roslan menzahirkan rasa syukur atas kejayaan penganjuran sambutan yang melambangkan kekuatan ukhuwah dan keutuhan perjuangan Islam di negeri ini.

"Inilah lambang kesatuan ummah yang menjadi asas kekuatan Kelantan selama 35 tahun pentadbiran Membangun Bersama Islam,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh jawatankuasa pelaksana, pasukan keselamatan dan para sukarelawan yang bertungkus-lumus menjayakan program tersebut.

Mengimbau perjalanan panjang PAS di Kelantan, beliau menyifatkan 35 tahun kerajaan Kelantan sebagai kisah penuh air mata dan darah yang menuntut pengorbanan luar biasa daripada generasi terdahulu.

"Kita bukan sekadar memperingati umur yang panjang, tetapi mengangkat perjuangan para ulama, para pejuang dan rakyat yang setia mempertahankan Islam di bumi bertuah ini,” ujarnya.


Dato’ Wan Roslan turut mengingatkan semua agar tidak membiarkan perbezaan kecil memecahbelahkan ukhuwah perjuangan yang telah dibina dengan pengorbanan besar generasi terdahulu.

"Jangan kerana perbezaan kecil, kita hancurkan perjuangan yang dibina dengan darah dan air mata oleh orang lama terdahulu. Teruskan perjuangan ini dengan hikmah dan kasih sayang,” jelasnya.

Post a Comment

0 Comments