![]() |
YB Dato’ Rohani Ibrahim, Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri Kelantan |
Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Unit Media Exco
Kredit foto: Unit Media Exco
KOTA BHARU, 8 Oktober – Kerajaan Negeri Kelantan terus memperkukuh agenda pembangunan keluarga berteraskan nilai sakinah, mawaddah dan rahmah (SMR) melalui penganjuran Bengkel Bina Keluarga yang berlangsung di sebuah hotel, di sini pada 5 dan 6 Oktober lalu.
Program anjuran Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri Kelantan itu menghimpunkan seramai 20 pasangan suami isteri dalam usaha memperkasa institusi keluarga yang sejahtera, harmoni dan berdaya tahan.
Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita YB Dato’ Rohani Ibrahim, berkata kerajaan negeri sentiasa menitikberatkan pengukuhan institusi keluarga sebagai teras pembentukan masyarakat madani yang stabil dan berakhlak.
“Kita berhasrat agar setiap keluarga di Kelantan dapat menghayati dan mengamalkan nilai Sakinah, Mawaddah dan Rahmah dalam kehidupan seharian supaya lahir masyarakat yang harmoni, penuh kasih sayang dan sejahtera,” katanya ketika merasmikan bengkel berkenaan.
Beliau menjelaskan bahawa komitmen kerajaan negeri terhadap pembangunan keluarga telah lama digerakkan melalui pelaksanaan Dasar Keluarga Mawaddah Negeri Kelantan yang diperkenalkan sejak tahun 2008, dan kini terus diperkasa dengan pelbagai inisiatif baharu yang bersifat inklusif dan mesra keluarga.
Antara inisiatif tersebut ialah Dasar Rumah Tiga Bilik (minima) bagi keselesaan isi rumah, penerbitan Buku Panduan Keluarga Mawaddah sebagai rujukan nilai kekeluargaan Islam, serta kemudahan cuti bersalin 90 hari bergaji penuh dan cuti ihdad 30 hari bagi kakitangan kerajaan wanita yang kematian suami.
Sepanjang bengkel berlangsung, peserta didedahkan kepada pelbagai modul interaktif dan terapi emosi yang memberi penekanan kepada komunikasi berkesan, pengurusan konflik serta seni mengekalkan kebahagiaan rumah tangga.
Antara pengisian utama termasuk sesi Art Therapy oleh Penolong Pengarah Rawatan, Perubatan dan Pemulihan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri Kelantan Norzira Mohamed, serta perkongsian inspirasi daripada penulis dan penggubal Dasar Keluarga Mawaddah,Mazidah Muhammad melalui slot bertajuk “Semua Manusia Layak Bahagia” dan “Bahagia Perlu Dirancang dan Diusahakan.”
Majlis penutupan bengkel disempurnakan dengan penyampaian sijil penyertaan dan bakul makanan kepada semua peserta sebagai tanda penghargaan terhadap komitmen mereka membina keluarga yang berasaskan nilai Islam dan kasih sayang.
Dato’ Rohani menzahirkan harapan agar bengkel seumpama itu menjadi medan memperkukuh kefahaman tentang peranan suami isteri serta memperluas jaringan sokongan sosial keluarga di seluruh negeri.
“Keluarga yang bahagia adalah asas kepada kestabilan negeri dan negara. Jika setiap rumah tangga dibina berasaskan sakinah, mawaddah dan rahmah, insya-Allah masyarakat seluruhnya akan sejahtera,” katanya.
0 Comments