Pesta Flora Kelantan 2025 cipta rekod jualan RM575,318.55 dalam masa 4 hari


Oleh: Asri Hamat

KOTA BHARU, 8 Oktober – Pesta Flora Kelantan 2025 berjaya mencipta rekod apabila mencatat jumlah jualan keseluruhan sebanyak RM575,318.55 sepanjang empat hari penganjuran bermula 2 hingga 5 Oktober 2025.

Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail memaklumkan jumlah jualan pada tahun ini meningkat sebanyak RM229,637.05 atau 66.43 peratus berbanding tahun lepas sebanyak RM345,681.50.

"Penganjuran kali ini menyaksikan sambutan luar biasa daripada pengunjung pelbagai lapisan masyarakat yang hadir bagi menyaksikan dan membeli pelbagai jualan produk tempatan, aktiviti kekeluargaan, pameran tanaman dari pelbagai agensi dan pihak swasta.

"Pesta bermula dengan memberangsangkan apabila mencatat jualan keseluruhan hari pertama yang mencecah RM84,578.80, didominasi oleh jualan dari Gerai Tapak 1 hingga 3 sebanyak RM80,663.80, melibatkan 66 daripada 67 gerai yang beroperasi," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya lagi, gerai Adabi turut menyumbang RM2,300 manakala Petting Zoo berjaya menarik perhatian dengan kutipan RM1,615.

"Memasuki hari kedua, jualan terus meningkat dengan jumlah jualan harian melonjak ke RM120,445.90.

"Semua 67 gerai beroperasi penuh, menyumbang RM111,140.90. Jualan Kombo Madani mula mencatat kutipan sebanyak RM3,400.00, diikuti gerai Adabi RM3,500 dan Petting Zoo RM2,405," jelasnya.

Pada hari ketiga pula, jualan semakin mencatat peningkatan ketara dengan jumlah jualan RM145,970.85. Gerai tapak menyumbang RM133,790.85, dan semua komponen jualan mencatat pertambahan termasuk Petting Zoo RM3,670 serta gerai Adabi RM4,238.00. Produk baharu, Terrarium MARDI yang baru diperkenalkan turut menyumbang RM572.

Sementara pada hari terakhir pesta pula merekodkan jumlah jualan harian tertinggi iaitu RM224,323 walaupun hanya 66 gerai beroperasi.

Gerai tapak mencatat jumlah luar biasa sebanyak RM217,685. Gerai Adabi dan Petting Zoo menunjukkan sedikit penurunan, namun sambutan masih menggalakkan.

Pesta Flora Kelantan 2025 dianjurkan Kerajaan Negeri Kelantan kelolaan Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad (KPKB) bersama rakan strategik sempena sambutan hari perayaan ulang tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V yang ke-56 bertemakan "Kelantan Indah, Flora Mempesona".

Majlis perasmiannya telah disempurnakan oleh Sultanah Kelantan Sultanah Nor Diana Petra pada 2 Oktober, manakala perasmian penutup oleh Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail pada Oktober.

Dato' Tuan Mohd Saripudin dalam ucapan perasmian penutup menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak yang menyokong penganjuran pesta tersebut.

"Terima kasih kepada semua pihak yang menyokong penganjuran pesta flora ini terutama para pengunjung.

"Sesungguhnya pesta flora ini menyerlahkan keindahan, kreativiti, potensi luar biasa yang ada pada florikultur dan industri hijau di negeri Kelantan," katanya.

Post a Comment

0 Comments