Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Media KIAS
Kredit foto: Media KIAS
KOTA BHARU, 8 Oktober – Keprihatinan terhadap pendidikan komuniti orang asli terus mendapat perhatian Kerajaan Negeri Kelantan apabila Menteri Besar YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud menyumbangkan sebuah komputer riba kepada pelajar orang asli Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), Nurul Nadin Nadirah Abdullah, bagi membantu melancarkan pengajiannya dalam Program Diploma Pengajian Islam.
Sumbangan itu melambangkan komitmen kerajaan negeri untuk memperkasa pelajar dari komuniti minoriti agar tidak tercicir dalam arus pendidikan digital yang semakin penting dalam sistem pembelajaran masa kini.
Majlis penyerahan komputer riba tersebut disempurnakan oleh Penolong Pengarah Pelajaran (Pinjaman, Biasiswa dan Bantuan) Yayasan Kelantan Darulnaim (YAKIN), Roasfanizam Din, di kampus KIAS pada Selasa.
Turut hadir menyaksikan penyerahan ialah Rektor KIAS Prof. Dr. Mazlan Ibrahim, Timbalan Rektor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Dr. Tuan Mohd Sapuan Tuan Ismail dan Pegawai Komunikasi Korporat KIAS Mohd Mansor Daud.
Pihak KIAS dalam kenyataan rasminya menzahirkan penghargaan kepada Menteri Besar atas keprihatinan berterusan terhadap kebajikan pelajar, khususnya mereka yang berasal daripada komuniti orang asli dan luar bandar.
“Sumbangan komputer riba ini ialah simbol sokongan moral dan tanggungjawab sosial kerajaan negeri terhadap pembangunan pendidikan inklusif kepada golongan minoriti. Diharapkan sumbangan ini menjadi pembakar semangat kepada saudari Nurul Nadin Nadirah untuk terus cemerlang dalam bidang akademik dan menyumbang kembali kepada masyarakat pada masa hadapan,” ujar pihak KIAS.
0 Comments