Guru pelatih IPGM Kota Bharu ungguli Syarahan Perdana PMBI 2025


Oleh: Syamimi Manah

KOTA DARULNAIM, 16 Oktober – Ketekunan dan minat mendalam dalam dunia syarahan sejak di bangku sekolah akhirnya membuahkan hasil apabila Ahmad Izuddeen Mohammed Anuar Mushoddad, 21, guru pelatih Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Kota Bharu, mengungguli Syarahan Perdana Penghayatan Membangun Bersama Islam (PMBI) 2025 bagi kategori Terbuka yang berlangsung di Kompleks Kota Darul Naim, semalam.

Ahmad Izuddeen memaklumkan bahawa beliau kini menjalani latihan praktikum di Sekolah Kebangsaan Sungai Rual, Jeli yang majoriti muridnya terdiri daripada komuniti orang asli.

Beliau merakamkan penghargaan kepada juri yang yang menilai penyampaiannya sebagai berwibawa dan berisi ketika membentangkan tajuk “Kelantan Model Perpaduan Kaum dan Kesejahteraan Rakyat.”

"Dalam syarahan semalam, saya menekankan tiga fokus utama iaitu Pembangunan Rohani Membina Negeri, Perpaduan Asas Kesejahteraan Negeri serta Kesejahteraan Rakyat Hasil Pemerintahan Islam, selaras dengan tema PMBI tahun ini, Penghayatan Membangun Bersama Islam.


"Masa yang saya manfaatkan adalah tiga hari untuk berlatih. Teks syarahan disiapkan sepenuhnya pada hari Ahad, manakala pentas akhir berlangsung pada hari Rabu," jelasnya .

Katanya lagi, teks tersebut diolah berasaskan rujukan daripada teks pertandingan yang pernah digunakan sebelum ini. Termasuk merujuk laman media rasmi Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN).

“Walaupun masa agak terhad, saya berlatih bersungguh-sungguh selepas teks siap pada hari Ahad. Pengalaman syarahan sebelum ini banyak membantu saya menyesuaikan gaya dan intonasi penyampaian,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah, pada Rabu.

Bekas pelajar Kolej Tahfiz Sains Nurul Aman, Kok Lanas itu sudah aktif menyertai pertandingan syarahan sejak Tingkatan Dua hingga ke Tingkatan Lima, dan pernah meraih naib johan peringkat kebangsaan semasa di Tingkatan Lima.

Sebagai Johan Syarahan PMBI 2025 Kategori Terbuka, Ahmad Izuddeen membawa pulang wang tunai RM2,000 berserta sijil penghargaan, piala pusingan dan trofi iringan sebagai pengiktirafan bakat dan keterampilannya di pentas orator.

Beliau juga terharu dan berterima kasih kepada Ahli Dewan Negeri (ADN) Dabong YB Ku Mohd Zaki Ku Hussin atas kehadiran pemimpin berjiwa rakyat itu untuk menyokongnya.



Post a Comment

0 Comments