![]() |
Arif Danish Ahmad Sabrani, Johan Syarahan Perdana PMBI (Kategori Cilik) 2025 |
Oleh: Syamimi Manah
KOTA DARULNAIM, 16 Oktober – Pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Belimbing, Tanah Merah Muhammad Arif Danish Ahmad Sabrani, 11, mencipta kejayaan membanggakan apabila dinobatkan sebagai Johan Kategori Cilik dalam Pertandingan Syarahan Perdana Penghayatan Membangun Bersama Islam (PMBI) 2025.
Anak muda dari DUN Bukit Panau itu tampil dengan syarahan bertajuk “Kelantan ke Arah Pembinaan Tamadun Berteraskan Islam”, menekankan bahawa pembangunan sebenar bukan sekadar membina bangunan dan teknologi, tetapi membina iman, akhlak dan maruah bangsa.
“Pencapaian lebih tiga dekad Membangun Bersama Islam (MBI) adalah satu perkara yang positif dalam pembinaan tamadun Negeri Kelantan. Membangun Bersama Islam bukan satu pilihan, tetapi satu kewajipan. Hasrat negeri Kelantan untuk mewujudkan sebuah negeri baldatun toyyibatul warabbul ghaffur bukan lagi satu aspirasi yang jauh daripada realiti,” tegasnya ketika menyampaikan syarahan di Dewan Teratai, Kompleks Kota Darulnaim, semalam.
Menurut Arif Danish, beliau hanya mengambil masa tiga hari untuk berlatih syarahan kerana sebelum ini perlu menumpukan perhatian kepada peperiksaan di sekolah.
Sementara itu, ibunya, Wan Noorizyani Md Pareri berkata, teks syarahan anaknya dikarang bersama-sama dengan merujuk buku terbaharu keluaran Pusat Kajian Strategik Negeri Kelantan (PKS).
“Teks syarahan Arif Danish dikarang dan disusun bersama-sama berasaskan Buku Kejayaan Pentadbiran Membangun Bersama Islam Negeri Kelantan: ‘Daripada Merakyat kepada Penghayatan’, keluaran terbaharu tahun 2025 oleh Pusat Kajian Strategik Negeri Kelantan yang dibeli ketika sesi taklimat kepada peserta akhir ” jelasnya.
Beliau dan anaknya terharu apabila turut diiringi Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Panau YB Dato' Abdul Fattah Mahmood Ketika menerima replika cek cura wang tunai RM1,000, sijil penghargaan, piala pusingan serta trofi kemenangan.
Tambahnya, pertandingan itu merupakan kali pertama anaknya menyertai syarahan, namun Arif Danish sudah pun mencatat kejayaan sebelum ini apabila meraih naib johan Pidato Kebersihan Persekitaran 2024 anjuran Kementerian Kesihatan Malaysia dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan.
0 Comments