Oleh: Syamimi Manah
KOTA DARULNAIM, 5 Oktober – Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Negeri Kelantan, YB Ustaz Mohd Asri Mat Daud, mendesak agar tindakan tegas diambil selepas tular maklumat bahawa arak disediakan secara ‘free flow’ dalam Majlis Makan Malam Gala Global Travel Meet 2025 anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) pada 2 Oktober lalu.
Hidangan arak tanpa had yang dikatakan menjadi sebahagian daripada majlis makan malam kerajaan berkenaan telah menimbulkan kemarahan masyarakat Islam di seluruh negara.
YB Ustaz Asri berkata, perkara tersebut menimbulkan kontroversi kerana jelas bercanggah dengan sensitiviti Islam sebagai agama Persekutuan (Fasal 3(1) Perlembagaan Persekutuan), selain berlawanan dengan garis panduan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang menetapkan amaran “Meminum Arak Boleh Membahayakan Kesihatan”.
"Walaupun garis panduan itu khusus berkaitan penjualan, ia wajar dilihat sebagai budaya sensitif yang tidak sepatutnya dihidang secara terbuka, apatah lagi dalam majlis rasmi kerajaan yang turut dihadiri orang Islam," jelasnya menerusi satu hantaran di media sosial rasminya hari ini.
Beliau menegaskan bahawa normalisasi arak dalam majlis rasmi kerajaan merupakan satu perbuatan biadab yang menjejaskan moral, etika serta imej pentadbiran Kerajaan Madani.
YB Ustaz Asri turut mendesak agar tindakan tegas diambil terhadap penganjur, serta menuntut pihak kementerian tampil menjelaskan perkara sebenar dan memohon maaf atas ketelanjuran tersebut.
Tambahnya, isu berkenaan perlu dilihat sebagai kesalahan besar yang tidak boleh dipandang ringan agar kejadian seumpama itu tidak berulang pada masa hadapan.
“Hidangan arak dalam majlis rasmi kerajaan bukan sahaja bercanggah dengan agama dan moral, malah menjatuhkan kredibiliti pentadbiran,” tegas beliau.
0 Comments