Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Menteri Besar
Kredit foto: Unit Media Menteri Besar
KOTA DARULNAIM, 6 Oktober – Sekolah Menengah Ugama (Arab) Diniah Kampung Bongor, Pasir Mas terus membuktikan keupayaannya sebagai institusi pendidikan unggul apabila merangkul deretan anugerah akademik dan kokurikulum berprestij di peringkat negeri dan kebangsaan bagi tahun 2023 dan 2024.
Antara kejayaan membanggakan sekolah tersebut ialah meraih Anugerah Pencapaian 100 peratus Layak Mendapat Sijil (LMS) SPM 2024, Anugerah Sekolah Terbaik Kategori SABK dalam SPM 2024 dan Anugerah Gred Purata Sekolah (GPS) Melepasi Gred Purata Daerah (GPD).
Turut diterima ialah Anugerah Kualiti Pembelajaran Lonjakan Saujana GPS SPM 2022 (Kategori SABK Peringkat Negeri Kelantan) dan Johan Anugerah Kelantanku Bersih 2023 (Kategori Sekolah Bersih dan Ceria Sekolah Yayasan Islam Kelantan).
Sehubungan itu, Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud menyifatkan pencapaian itu sebagai hasil keberkatan iltizam seluruh warga sekolah.
Beliau juga menegaskan bahawa pelaburan dalam pendidikan merupakan amal jariah terbesar yang manfaatnya mengalir hingga ke generasi seterusnya.
"Apa yang kita tanam pada hari ini, hasilnya untuk generasi akan datang," katanya ketika merasmikan Majlis Kesyukuran dan Kutipan Dana Waqaf sekolah itu pada Ahad.
Bagi menyokong usaha pembangunan sekolah berkenaan, beliau menyumbang RM50,000, manakala Exco Pendidikan Kelantan, YB Dato' Wan Roslan Wan Hamat yang mewakili Yayasan Islam Kelantan (YIK) turut menyerahkan RM50,000 untuk tujuan pembelian tanah baharu.
Beliau juga menegaskan bahawa inisiatif wakaf pendidikan tersebut sebagai langkah strategik melahirkan generasi berilmu, berakhlak dan berdaya saing.
"Semoga usaha murni ini terus subur dan menjadi sumber keberkatan kepada semua pihak yang terlibat. Moga Allah SWT menerima setiap sumbangan sebagai amal jariah yang berkekalan pahalanya," katanya.
Majlis turut dihadiri Pengarah YIK Dato' Zulkifli Abdul Rahman, pengetua-pengetua sekolah YIK, warga pendidik, ibu bapa serta para penyumbang.
0 Comments