Peserta cilik curi tumpuan peringkat saringan Syarahan Perdana PMBI 2025


Oleh: Syamimi Manah

KOTA BHARU, 5 Oktober – Peserta kategori cilik mencuri tumpuan para juri pada peringkat saringan Pertandingan Syarahan Perdana Penghayatan Membangun Bersama Islam (PMBI) 2025 yang berlangsung di Syabab Point, Kota Bharu, semalam.

Meskipun berumur antara tujuh hingga 12 tahun, peserta kategori berkenaan menampilkan keyakinan tinggi serta gaya penyampaian yang tidak kurang hebat, setanding dengan peserta kategori terbuka.

Penilaian peserta pertandingan itu dibuat berdasarkan tiga aspek utama iaitu isi syarahan yang bertepatan dengan tema PMBI, gaya penyampaian dan penguasaan bahasa.



Kategori cilik menampilkan 17 peserta yang bertanding bagi merebut sepuluh tempat ke pentas akhir. Mata tertinggi 91 markah dicapai bersama oleh Iman Nuha Mohd Ridzuan dan Adeela Awfa Aidi, diikuti oleh Najlaa’ Hasanah Aisyah Ahmad Najme (88 markah).

Pencapaian mata tertinggi itu menunjukkan kemampuan luar biasa peserta muda dalam menyampaikan gagasan bernas selaras dengan tema pertandingan.

Sementara itu, bagi kategori terbuka, sebanyak 14 peserta yang berumur 16 tahun ke atas telah berjaya hadir ke peringkat saringan. Rata-rata mereka terdiri daripada pelajar sekolah menengah, mahasiswa dan graduan universiti.

Keputusan tertinggi bagi kategori terbuka diraih oleh Siti Aisyah Azhar dari DUN Pengkalan Kubor dengan 85 markah. Disusuli oleh Ahmad Ramzil Hafizie Rusli dari DUN Pulai Chondong (84.5 markah) dan Amirah Syakirah Anuar dari DUN Gual Periok (83 markah).

Sebanyak sepuluh peserta daripada setiap kategori akan mara ke Pentas Akhir Syarahan Perdana PMBI 2025 yang dijadualkan berlangsung pada 15 Oktober ini.





Post a Comment

0 Comments