Oleh SALMAH MAT HUSAIN
KOTA BHARU: Imej
Islam seperti terus dipersendakan di era kerajaan Madani apabila program rasmi
kerajaan dicemari perkara yang tidak sepatutnya berlaku.
Sebelum ini Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming mengadakan sambutan Krismas di premis kerajaan sempena Krismas tahun lepas.
Dan terbaru rasmi anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dihidang dengan jamuan arak.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Saizol Ismail berkata, tindakan menghidangkan arak di majlis rasmi kerajaan bertentangan dengan pekeliling kerajaan.
Katanya, perkara itu jelas melanggar dasar serta sensitiviti umat Islam.
“Menghidangkan minuman beralkohol pada majlis mempromosi Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 adalah tidak beretika dan menteri terbabit perlu memohon maaf.
“Di Kelantan dasar kerajaan negeri jelas melarang sebarang bentuk jamuan arak secara terbuka, apa lagi dalam majlis rasmi kerajaan,” katanya di sini.
Baru-baru ini media melaporkan majlis makan malam sempena pelancaran Global Travel Meet melibatkan hidangan arak turut dihadiri Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.
Saizol berkata sekiranya orang bukan Islam mahu minum atas urusan peribadi itu hak mereka, namun tidak boleh sekali-kali melibatkan majlis rasmi kerajaan.
Kata beliau tindakan MOTAC tersebut menimbulkan keresahan masyarakat dan mencalarkan imej kerajaan Madani.
“Kakitangan kerajaan dan orang ramai resah kerana perkara seumpama itu berlaku di era kerajaan Madani,” ujarnya yang juga Adun Salor.
0 Comments